KUALA LUMPUR, 12 Mac (IKIM) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan sepanduk mengandungi ayat suci al-Quran yang diterjemah secara salah bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.
Beliau berkata, siasatan itu perlu dilakukan segera dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, perbuatan tersebut amat dikesali kerana bukan sahaja mengguris perasaan umat Islam, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, malah turut mencemarkan kemuliaan al-Quran.
Tambah beliau, ayat al-Quran tidak boleh ditafsir atau diterjemah sewenang-wenangnya sehingga menyimpang jauh daripada konteks serta makna sebenar yang telah dihuraikan dalam tradisi keilmuan Islam.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghayati al-Quran berlandaskan disiplin ilmu yang sahih dan tidak menterjemah atau menggunakan ayat suci tersebut mengikut kehendak nafsu sehingga menyesatkan daripada maksud sebenar.
Zulkifli turut mengingatkan bahawa penggunaan ayat al-Quran untuk menyokong amalan yang bertentangan dengan nilai serta ajaran Islam adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima.




