TIJARI SALUR LEBIH RM421,000 KEPADA MASJID, SURAU DAN BAKAL HAJI SELANGOR

SHAH ALAM, 12 Mac (IKIM) – Tabung Infaq Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) menyalurkan sumbangan berjumlah lebih RM421,000 kepada masjid dan surau di seluruh Selangor termasuk yang memerlukan bantuan baik pulih akibat bencana ribut.

Sumbangan tersebut turut merangkumi insentif haji kepada Dhuyufurrahman Selangor bagi membantu bakal jemaah menunaikan ibadah haji tahun ini.

Penyerahan sumbangan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merangkap Pengerusi TIJARI, Dato’ Hj. Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu majlis penyerahan di Ibu Pejabat JAIS hari ini.

Turut hadir majlis Timbalan Pengarah Operasi JAIS merangkap Timbalan Pengerusi TIJARI, Siti Razmah Idris dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIS merangkap Setiausaha TIJARI, Haji Hashim Muhamad,

Menurut Shahzihan, dana TIJARI berperanan melengkapkan sumber bantuan sedia ada seperti zakat, baitulmal dan wakaf bagi memperluas bantuan kepada masyarakat.

Beliau berkata gabungan pelbagai sumber dana itu membolehkan bantuan disalurkan ke lebih banyak kawasan yang memerlukan, khususnya kepada institusi masjid dan surau.

Tambah beliau, jumlah bantuan yang disalurkan adalah berbeza mengikut keperluan setiap masjid atau surau, terutama bagi kes kecemasan seperti kerosakan akibat bencana serta keperluan pengimarahan dan utiliti.

Katanya, bantuan utiliti seperti kos air dan elektrik hanya diberikan sekiranya akaun kewangan masjid atau surau tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi sehingga tempoh tertentu.

Beliau menjelaskan prinsip pengurusan infak adalah supaya dana yang diterima oleh masjid dan surau dimanfaatkan secara aktif untuk aktiviti pengimarahan, bukan sekadar disimpan tanpa digunakan.

Antara penggunaan dana tersebut termasuk penganjuran kuliah dan program keagamaan, bayaran kepada penceramah serta penyediaan jamuan dan keperluan asas bagi menghidupkan aktiviti di masjid dan surau.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan usaha memperkasa peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan ummah serta memastikan dana infak yang disumbangkan masyarakat memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

WhatsApp
Scroll to Top