KUALA LUMPUR, 11 Mac (IKIM) – Seramai 30 pesakit di wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan menerima sumbangan kebajikan daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerusi Program Ziarah Mahabbah Ramadan 1447H/2026M yang diadakan pada Selasa.
Program tersebut dilaksanakan bersama Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sebagai sebahagian usaha berterusan Yayasan LTAT dalam menyantuni warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang menjalani rawatan di hospital.

Melalui inisiatif itu, bantuan kebajikan serta sokongan moral turut disampaikan kepada pesakit dan ahli keluarga mereka sepanjang bulan Ramadan.
Sesi ziarah berkenaan disertai isteri Menteri Pertahanan, Rosni Omar, bersama Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Mohd Nizar Sudin.
Turut hadir ialah Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Siti Juana Md Ibrahim; Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Noor Ainy Mohd Ali; Pengerusi Jemaah BAKAT Laut, Zamzelina Ahmad serta Pegawai Memerintah Hospital Tuanku Mizan, Mohamed Hatta Manis.

Sepanjang pelaksanaan Program Ziarah Mahabbah Ramadan tahun ini, Yayasan LTAT memperuntukkan sebanyak RM88,600 bagi menyalurkan sumbangan kebajikan kepada 294 penerima yang terdiri daripada anggota tentera atau waris yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya (OKU) serta waris anggota ATM yang telah meninggal dunia.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Yayasan LTAT dalam memperkukuh agenda kebajikan warga ATM, khususnya kepada mereka yang memerlukan perhatian serta sokongan ketika berdepan dengan situasi sukar.

Yayasan LTAT akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka terus terpelihara, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti pertahanan negara.




