ABIM MENOLAK KEGANASAN, SERU PERKUKUH BUDAYA DAMAI DALAM MASYARAKAT MAJMUK

KUALA LUMPUR, 10 Mac (IKIM) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sebarang bentuk keganasan dan intimidasi susulan insiden pembakaran kenderaan serta kejadian kepungan terhadap seorang individu oleh pihak tidak dikenali yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata apa jua latar belakang atau motif di sebalik kejadian tersebut, tindakan keganasan tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang.

Menurut beliau, tindakan melanggar undang-undang serta mengambil tindakan sendiri bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan lebih luas dalam masyarakat.

“ABIM dengan tegas mengutuk tindakan tersebut dan menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh serta telus bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam masa sama, ABIM menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan sensitiviti agama atau pembinaan rumah ibadat perlu ditangani secara tertib melalui saluran undang-undang serta mekanisme pentadbiran yang sah.

Menurut kenyataan itu, pemeliharaan keharmonian masyarakat majmuk menuntut setiap pihak menghormati peraturan yang ditetapkan serta mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat.

Fahmi berkata ABIM turut mengingatkan bahawa Islam sendiri menekankan kepentingan menjaga hubungan antara agama dan mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan permusuhan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-An‘am ayat 108 yang melarang umat Islam menghina sembahan agama lain kerana dikhuatiri akan membawa kepada penghinaan terhadap Allah secara melampaui batas.

Sehubungan itu, ABIM menyeru masyarakat kembali kepada pendekatan Fiqh Ta‘ayush al-Silmi, iaitu kefahaman fiqh yang menekankan prinsip hidup bersama secara aman, saling menghormati serta mengurus perbezaan agama secara beradab dalam masyarakat majmuk.

Selain itu, ABIM turut menekankan konsep Fiqh al-Amni wa al-Salam, yang menumpukan kepada pemeliharaan keamanan awam, kestabilan masyarakat serta penolakan terhadap kebencian, provokasi dan keganasan yang boleh menggugat keharmonian sosial.

Menurut ABIM, mempertahankan kedudukan agama atau hak masyarakat tidak boleh dilakukan melalui provokasi, retorik yang mengapi-apikan sentimen atau tindakan di luar kerangka undang-undang.

Pertubuhan itu juga menegaskan isu seperti ini tidak seharusnya dipolitikkan sebagai pertembungan antara menyokong atau menentang kerajaan kerana hakikatnya persoalan utama ialah bagaimana masyarakat mengurus sensitiviti agama serta mematuhi undang-undang secara bertanggungjawab.

ABIM turut menggesa pihak berkuasa memperkukuh langkah pemantauan dan pencegahan bagi menangani isu sensitif yang berpotensi mencetuskan ketegangan masyarakat.

Antara seruan yang dikemukakan ialah agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan telus terhadap insiden keganasan, semua pihak menghentikan retorik yang mengapi-apikan sentimen agama, pertikaian berkaitan isu agama atau rumah ibadat diselesaikan melalui saluran undang-undang serta dialog yang sah, dan pemimpin masyarakat serta pertubuhan madani bersama-sama memperkukuh budaya damai.

ABIM percaya masa depan Malaysia sebagai negara yang aman dan stabil bergantung kepada kemampuan rakyat mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan dan keadilan.

“Dalam negara majmuk seperti Malaysia, kekuatan kita bukan pada kemampuan menonjolkan perbezaan secara keras, tetapi pada kebijaksanaan mengurus perbezaan dengan adab, keadilan dan tanggungjawab bersama,” menurut kenyataan itu.

WhatsApp
Scroll to Top