SHAH ALAM, 4 MAC (IKIM) – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meneruskan komitmen murninya dalam memperkasa tanggungjawab sosial korporat menerusi penganjuran program tahunan, CSR Sinar Ramadan 2026 yang bertujuan menyuntik kegembiraan dan memberikan pengalaman menyambut Hari Raya Aidilfitri yang lebih bermakna buat golongan yang memerlukan.
Tahun ini, seramai 70 orang anak-anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Baitul Ehsan Alkhairi diraikan dalam satu sesi membeli-belah kelengkapan raya di Jakel Mall, Seksyen 7, Shah Alam.

Berbeza dengan penganjuran tahun-tahun sebelum ini yang lazimnya memfokuskan kepada majlis berbuka puasa (iftar), program kali ini memperkenalkan pendekatan yang lebih interaktif dan peribadi.
Anak-anak tersebut diberi peluang keemasan untuk memilih sendiri pakaian dan kelengkapan raya kegemaran mereka dengan ditemani serta dibantu oleh kakitangan Pernas sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak perbadanan dalam memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif serta penglibatan komuniti yang lebih akrab.
“Bulan Ramadan mengajar kita nilai kasih sayang dan tanggungjawab. Melalui program ini, kami berharap anak-anak ini berpeluang menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan dan kebahagiaan seperti orang lain, dalam suasana yang penuh bermakna,” ujar beliau semasa merasmikan program tersebut.

Turut hadir memberi sokongan padu adalah barisan Pengurusan Kanan Pernas serta Datuk Wira Mohamed Izani Mohamed Jakel, Pengarah Urusan Jakel Trading Sdn. Bhd.
Selain keterujaan memilih baju baharu, Pernas turut memperkukuh bantuan melalui penyerahan cek cura, bantuan kewangan kepada Pertubuhan Baitul Ehsan Alkhairi dan pemberian duit raya bagi setiap anak yang terlibat menerima sumbangan duit raya sebagai pelengkap tradisi sambutan Syawal yang bakal tiba.

Program CSR Sinar Ramadan ini melambangkan harapan dan impak positif yang ingin dibawa oleh Pernas, selaras dengan matlamat organisasi untuk mewujudkan hubungan yang bermakna dan memberi manfaat nyata kepada komuniti setempat.




