MALAYSIA PERLUAS EKOSISTEM HALAL KE SEKTOR SPA DAN KESEJAHTERAAN

BERLIN, 4 Mac (IKIM) – Malaysia mengambil langkah strategik untuk memperluas kepimpinannya dalam ekosistem halal global ke sektor spa dan kesejahteraan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Islamic Tourism Centre(ITC) dan Association of Malaysian Spas (AMSPA) di ITB Berlin di Berlin, Jerman.

Kerjasama itu akan menyaksikan ITC melaksanakan Garis Panduan Spa Mesra Muslim serta Program Latihan khusus kepada 100 ahli AMSPA melalui modul latihan tersusun, program pembangunan kapasiti dan rangka kerja pengiktirafan rasmi.

Inisiatif yang dicetuskan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tiong King Sing itu bertujuan memperkenalkan tawaran spa dan kesejahteraan Malaysia yang autentik bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pada masa sama, langkah tersebut mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh piawaian dalam segmen kesejahteraan halal serta memposisikan negara sebagai rujukan utama bagi destinasi yang ingin menembusi pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden AMSPA, Selinastein Mohd Rashid, disaksikan oleh Tiong.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Republik Persekutuan Jerman, Mohamad Razdan Jamil dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

ITC membangunkan garis panduan spa dan kesejahteraan itu bersama AMSPA dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan merujuk kepada piawaian Standards and Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC) yang diterima pakai di peringkat Organisation of Islamic Cooperation (OIC).

Garis panduan berkenaan merupakan antara komponen utama dalam program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang turut merangkumi panduan bagi premis penginapan pelancong mesra Muslim dan perniagaan pengendali pelancongan.

Sektor spa dan kesejahteraan kini menjadi komponen penting dalam ekonomi halal global yang turut meliputi kewangan Islam, makanan dan minuman halal, fesyen sopan, farmaseutikal, kosmetik, media, rekreasi serta pelancongan.

Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh ekosistem halal Malaysia melalui sektor pelancongan.

Menurutnya, perkhidmatan spa dan kesejahteraan merupakan sebahagian daripada keseluruhan pengalaman pelancongan, justeru pembangunan garis panduan praktikal dan program latihan mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan serta keyakinan industri dalam melayani pelancong Muslim secara lebih profesional.

Sementara itu, Selinastein menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai langkah tepat pada masanya dalam memperkukuh ekosistem spa mesra Muslim sekali gus memperkukuh kedudukan industri kesejahteraan Malaysia sebagai inklusif, dipercayai dan berdaya saing di peringkat global.

Pemeteraian MoU di Berlin turut memberi isyarat kepada pengusaha spa antarabangsa bahawa kerangka mesra Muslim kini semakin relevan dalam perancangan pelancongan global.

Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi halal dunia dengan mengintegrasikan piawaian kesejahteraan dalam ekosistem pelancongan mesra Muslim, sekali gus mengukuhkan peranan negara bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai peneraju ilmu dan pembangunan piawaian dalam landskap pelancongan mesra Muslim global.

WhatsApp
Scroll to Top