CYBERJAYA, 4 Mac (IKIM) – Industri media negara perlu segera mengutamakan latihan lanjutan dalam teknologi baharu bagi memastikan ia terus berdaya saing dan kekal kredibel dalam era transformasi digital yang pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr Ainol Amriz Ismail berkata, perubahan struktur besar yang didorong kemajuan teknologi serta perubahan jangkaan audiens menuntut pembangunan profesional berterusan dalam kalangan pengamal media.
Menurut beliau, pembangunan kemahiran tidak lagi bersifat pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan penting bagi memastikan organisasi media mampu menyesuaikan diri dengan landskap semasa.
Beliau turut mengalu-alukan pelancaran Dana Inovasi Media oleh Kementerian Komunikasi Malaysia yang disifatkan sebagai mekanisme strategik untuk mempercepat transformasi industri melalui sokongan terhadap latihan metodologi bilik berita moden dan penggunaan peralatan digital.
Katanya, dana berkenaan boleh membiayai program dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) untuk penyelidikan berita, kewartawanan data, analitik audiens, pengesahan digital serta penceritaan multimedia.
Selain itu katanya, ia juga mampu menampung kos latihan dan membuka peluang kepada warga media untuk menyertai inisiatif pembangunan profesional.
Ainol menjelaskan wartawan yang dilengkapi kemahiran teknologi dan analitikal lebih bersedia menghasilkan laporan yang pantas, tepat dan berimpak, khususnya dalam era yang dicabar oleh penyebaran maklumat palsu serta kandungan dipacu algoritma.
Beliau menegaskan akses kepada latihan profesional perlu merangkumi seluruh organisasi, daripada wartawan muda hingga editor kanan, termasuk jabatan sokongan seperti fotografi, grafik dan pendigitalan, bagi memastikan peralihan berlaku secara inklusif dan terselaras.
“Pendekatan inklusif akan memupuk budaya pembelajaran berterusan serta merapatkan jurang kemahiran antara generasi dalam organisasi media,” katanya.
Tambah beliau, MPI yang mempunyai pengalaman lebih enam dekad dalam latihan kewartawanan berada pada kedudukan strategik untuk menjadi penyedia latihan utama di bawah Dana Inovasi Media.
Malah, MPI juga berpotensi berperanan sebagai hab latihan nasional dengan menjalin kerjasama bersama pakar teknologi, institusi akademik dan pengamal media antarabangsa bagi memastikan latihan yang ditawarkan selari dengan amalan terbaik global.
Ainol menegaskan pelaburan dalam latihan teknologi canggih akan memperkukuh profesionalisme kewartawanan, memupuk bakat industri serta membina ekosistem media Malaysia yang lebih berdaya tahan.




