KUALA LUMPUR, 10 Feb (IKIM) – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menganjurkan sesi Media Hi-Tea sebagai platform mempererat hubungan strategik dan memperkukuh kerjasama berterusan bersama rakan-rakan media.
Program yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra itu menghimpunkan wakil media cetak, penyiaran serta digital, sekali gus membuka ruang interaksi dua hala antara INSKEN dan pihak media.

Majlis tersebut turut mencerminkan penghargaan agensi berkenaan terhadap peranan penting media dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan inisiatif pembangunan keusahawanan negara.
Dalam sesi berkenaan, INSKEN berkongsi pencapaian sepanjang 2025 termasuk kejayaan melatih dan membimbing 20,196 usahawan menerusi 321 program yang dianjurkan.
Usaha itu berjaya menjana hasil jualan berjumlah RM22.4 juta serta mewujudkan 710 peluang pekerjaan baharu.

Bagi 2026, INSKEN memberi tumpuan kepada penskalaan usahawan mikro kepada perusahaan kecil yang lebih mampan, penciptaan peluang pekerjaan baharu bergaji minimum serta pemerkasaan sektor ketiga termasuk keusahawanan sosial dan perusahaan berasaskan komuniti.
Agensi itu juga memperkenalkan program baharu iaitu Bangkit dan INSKEN Masterclass, di samping meneruskan pelaksanaan program merangkumi Perniagaan Keluarga, Halal, High Growth High Value (HGHV), TVET, Akses Pasaran dan Keusahawanan Sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, sesi tersebut membantu pihak media memahami pendekatan INSKEN sebagai pemudah cara dan penghubung antara usahawan, industri serta ekosistem sokongan keusahawanan negara.
Beliau menegaskan media merupakan rakan strategik penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berimpak kepada Masyarakat, justeru INSKEN komited untuk terus bekerjasama rapat dengan media bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan yang mampan dan inklusif.

Media Hi-Tea berkenaan diadakan di Chef Kecik Boulangerie Tuah 1895, sebuah restoran milik alumni program INSKEN yang juga penerima Anugerah Usahawan MADANI 2025 (AUMI) bagi kategori Anugerah Harapan.
Pemilihan lokasi itu mencerminkan kejayaan alumni INSKEN yang berdaya tahan serta menjadi inspirasi kepada usahawan lain.
INSKEN merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan selaras dengan aspirasi “Membangun Usahawan Madani”.




