SERDANG, 11 Feb (IKIM) – Kementerian Pertahanan terus komited memperkasa sosioekonomi bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Usahawantani PUTRA–PERHEBAT yang dilihat sebagai platform lonjakan kerjaya kedua dalam bidang pertanian.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program hasil kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) serta Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035.

Beliau berkata menerusi Inisiatif Strategik 12 di bawah DIPN, kementerian memberi fokus kepada pemerkasaan modal insan dan memperkukuh laluan kerjaya selepas perkhidmatan, di samping menangani jurang kemahiran dalam pelbagai sektor.
“Program USAHAWANTANI ini merupakan latihan dan bimbingan berstruktur dalam bidang pertanian khusus untuk anggota ATM yang bakal bersara dan veteran. Ia bukan sahaja membantu menjana pendapatan, malah menyokong usaha kerajaan memperkasa keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak Program Usahawantani PUTRA–PERHEBAT di Pusat Pertanian Putra, UPM di sini, hari ini.
Turut hadir program ini Dato’ Ketua Pengarah PERHEBAT, Ts. Amir Md Noor; Pendaftar UPM, Muhazam Mansor dan Pengarah Pusat Pertanian Putra UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin,
Sejak dilaksanakan pada Mac 2023, seramai 151 pelatih telah mengikuti program tersebut yang menawarkan latihan pertanian secara berstruktur dan berskala komersial selama enam bulan.

Program itu memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama iaitu membantu veteran menjana pendapatan dalam sektor tanaman, ternakan dan perikanan; mewujudkan komuniti usahawantani dalam kalangan veteran; serta membangunkan ekosistem antara pengeluar dan pembekal melalui jaringan strategik bersama pihak berkepentingan.
Sebanyak lapan plot latihan disediakan meliputi tanaman terung dan cili, sun melon, nanas dan jagung, cendawan, ternakan puyuh dan ayam, itik, ruminan serta perikanan.

Sehingga kini, program berkenaan berjaya menghasilkan 24 tan cili dan terung, tiga tan ikan keli serta tujuh tan sun melon. Hasil pertanian itu dipasarkan di Putra Mart UPM Serdang dan kepada pemborong sekitar Selangor.
Dalam pada itu, Adly turut dimaklumkan mengenai pelaksanaan inisiatif baharu dikenali sebagai Hebat E-Co di bawah Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 yang bertujuan memperkukuh pembangunan ekonomi veteran secara berkelompok khususnya dalam sektor agromakanan.

Inisiatif berkenaan akan dipacu melalui kerjasama strategik bersama universiti awam dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), agensi kerajaan serta syarikat berkaitan seperti Boustead Plantations.
Adly berharap kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian ekonomi veteran ATM terus terpelihara, sekali gus menyumbang kepada rantaian jaminan bekalan makanan negara.




