KUALA LUMPUR, 12 Feb (IKIM) – Ulama dan umara digesa memperkukuh usaha islah diri serta memperkasa kesatuan umat Islam dalam mendepani cabaran semasa termasuk era digital.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pembinaan diri perlu menjadi asas sebelum usaha memperbaiki masyarakat dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Multaqa Madani Ulama Umara Peringkat Zon Tengah 2026 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, dakwah paling berkesan ialah melalui keperibadian dan contoh teladan, selain menuntut para murabbi menghiasi diri dengan akhlak mulia serta memperkasa ilmu duniawi dan ukhrawi.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu menghimpunkan imam, guru takmir, guru KAFA serta pegawai masjid dari Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Turut hadir majlis Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM memperuntukkan RM84.36 juta bagi tahun 2026 kepada 13,189 penerima di Zon Tengah, merangkumi imbuhan imam, elaun guru takmir dan guru KAFA serta Bayaran Khas Kewangan RM500 secara one-off.

Beliau turut menegaskan peruntukan RM2.6 bilion bagi pengurusan hal ehwal Islam dalam Belanjawan MADANI 2025 membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh syiar Islam.
Majlis turut mendoakan agar semangat kesatuan para pendidik terus diperkasa menjelang Ramadan, sebelum beliau merasmikan Multaqa berkenaan.
Oleh: Norhayati Paradi




