PERBADANAN WAKAF SELANGOR LANCAR APLIKASI WAKAF SELANGOR, TERIMA WAKAF KORPORAT RM400,000

SHAH ALAM, 10 Feb (IKIM) – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) buat julung kalinya melancarkan aplikasi digital Wakaf Selangor sebagai platform inovatif bagi memudahkan urusan wakaf serta memperluas penyertaan masyarakat secara lebih sistematik, telus dan mesra pengguna.

Pembangunan aplikasi ini bertujuan membudayakan amalan wakaf dalam kalangan masyarakat pada bila-bila masa, selain membolehkan pengguna mengakses maklumat sejarah wakaf terdahulu serta mengikuti aktiviti dan agihan wakaf yang dilaksanakan PWS secara lebih terperinci.

Dalam majlis sama, PWS turut menerima penyerahan simbolik cek cura Wakaf Tunai bernilai keseluruhan RM400,000 daripada 12 syarikat korporat.

Antara penyumbang utama, Worldwide Holdings Bhd. (RM150,000), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (RM100,000), KDEB Waste Management (RM50,000), Menteri Besar Selangor Incorporated dan Aiman Platinum Sdn. Bhd. masing-masing RM20,000, serta Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, PKNS Real Estate, MZR Group Sdn. Bhd., Selangor Industrial Corporation dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad masing-masing RM10,000. Meem Gold dan AFTACop Sdn. Bhd. masing-masing menyumbang RM5,000.

Komitmen sektor korporat ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pengurusan wakaf yang profesional, berintegriti dan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh ekosistem wakaf di Selangor.

Pelancaran ini turut menandakan penganjuran Bulan Wakaf 2026, satu inisiatif strategik PWS selaras aspirasi pendigitalan, ketelusan tadbir urus dan penglibatan pelbagai pihak dalam memperluas peranan wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi ummah yang mampan.

Dalam majlis perasmian, Pengerusi PWS, Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata inisiatif ini melambangkan iltizam dan komitmen bersepadu Kerajaan Negeri Selangor bersama PWS dalam memacu agenda wakaf secara holistik dan berdaya maju.

Turut hadir majlis, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah.

PWS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat serta mengalu-alukan penglibatan berterusan masyarakat, institusi dan sektor korporat bagi menjayakan Bulan Wakaf 2026 demi pembangunan ummah yang lestari dan kemakmuran bersama.

WhatsApp
Scroll to Top