KUALA LUMPUR, 6 Feb (IKIM) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus memperluas jaringan antarabangsa apabila hubungan strategiknya dengan Kesultanan Oman diperkukuh melalui penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman di kampus universiti berkenaan.
Pusat yang dirasmikan pada 3 November 2025 oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Senator Dr. Zulkifli Hasan, merupakan yang pertama seumpamanya diwujudkan di luar dunia Arab.
Penubuhannya melambangkan tahap kepercayaan tinggi Oman terhadap keupayaan UIAM sebagai institusi pendidikan Islam bertaraf global.
Antara tarikan utama pusat tersebut ialah galeri khas yang mempamerkan hadiah kerajaan dan rakyat Oman kepada UIAM, termasuk replika berskala besar surat Rasulullah SAW kepada pemerintah Oman yang mengajak kepada Islam, sekali gus menjadi khazanah penting dari sudut sejarah dan tamadun.
Di samping peranan simbolik, pusat ini turut disokong dengan komitmen berterusan Oman menerusi geran penyelidikan tahunan, geran penterjemahan, program latihan akademik, biasiswa serta peluang luas kepada penyelidik meneroka sumbangan Oman kepada peradaban Islam.

Seiring usaha memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar mengadakan lawatan rasmi selama enam hari ke Oman bermula hari ini atas jemputan Kerajaan Oman.
Lawatan tersebut merangkumi pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan Menteri Hal Ehwal Agama Oman serta kunjungan ke beberapa universiti utama bagi membincangkan potensi kerjasama akademik yang lebih menyeluruh.
Menurut Osman Bakar, hubungan UIAM dan Oman bukan sekadar terbatas kepada kerjasama institusi, sebaliknya berasaskan nilai Islam bersama, kepercayaan serta komitmen membangunkan ilmu secara berterusan.
Lawatan ini juga katanya dijangka membuka laluan kepada pemeteraian perjanjian baharu dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar dan pertukaran akademik.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman UIAM, Prof. Dr. Rahmah Ahmad Osman menyifatkan perkembangan ini sebagai satu pencapaian penting yang dinanti-nantikan, sekali gus memperluas peluang kerjasama antara penyelidik dan pelajar kedua-dua negara.
Beliau turut memaklumkan pusat berkenaan berperanan sebagai hab rujukan serantau bagi kajian Oman, selain mengangkat UIAM sebagai jambatan ilmu antara dua tamadun Islam.
Kerjasama erat ini juga diyakini mampu menggalakkan semula kemasukan pelajar Oman ke Malaysia serta memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan di dunia Arab dan Islam.
Gambar: Amirul Husni Jasmi




