JAKIM, YAYASAN RESTU LAKSANA PENGHANTARAN AL-QUR’AN KE AMERIKA DAN AFRIKA

PUTRAJAYA, 6 Feb (IKIM) – Terjemahan al-Quran dalam Bahasa Iban dijangka dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan lagi sebagai sebahagian daripada projek Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata usaha itu bertujuan menyebarkan risalah al-Quran dengan terjemahan pelbagai bahasa ke seluruh dunia, termasuk ke beberapa negara sasaran pada tahun ini.

“Pada tahun 2026, antara negara yang menjadi destinasi penghantaran ialah Rusia, Jerman serta beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Myanmar dan Vietnam. Selain itu, di Sarawak, bahan terjemahan turut disediakan dalam Bahasa Iban.

Secara keseluruhan, jumlah penghantaran mencecah satu juta unit dan akan dilaksanakan secara berperingkat serta berfasa,” katanya pada majlis peluncuran dua kontena al-Quran ke Amerika Syarikat (Washington), Ivory Coast dan Ghana di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.

Terdahulu, satu langkah penting memperkukuh ekosistem wakaf al-Quran turut dizahirkan menerusi pelancaran Platform Digital Global Wakaf Al-Quran (GWAQ) yang diperkenalkan kepada umum bersempena majlis pelepasan dua kontena naskhah terjemahan al-Quran untuk edaran antarabangsa.

Platform berkenaan merupakan inisiatif kolaboratif antara Yayasan Restu dan ToyyibPay yang menggabungkan legasi percetakan serta pengedaran mushaf dengan keupayaan teknologi digital bagi memastikan usaha wakaf al-Quran dapat dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berterusan di peringkat global.

Oleh: Norhayati Paradi

WhatsApp
Scroll to Top