IKIM TERIMA ANUGERAH HALAL ECONOMIC MEDIA EXCELLENCE AWARD DI IEHA 2026

BANGI, 5 Feb (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerima Anugerah Halal Economic Media Excellence Award sempena International Halal Economic Award (IEHA) 2026 yang berlangsung di Hotel Tenera, di sini, malam tadi.

Pengiktirafan itu membuktikan peranan media berteraskan nilai Islam dalam memperkukuh kefahaman, memperluas wacana serta memartabatkan ekonomi halal di peringkat global.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata anugerah berkenaan merupakan satu-satunya pengiktirafan kategori media halal yang diterima oleh organisasi media di Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan IKIM dalam memperkasa industri halal menerusi platform media.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga kerja Pusat Media IKIM, khususnya IKIMfm dan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS) IKIM, yang secara konsisten membincangkan isu halal melalui program mingguan Halal Profesional, yang memfokuskan aspek ekonomi, profesional dan industri halal.

Sementara itu, Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali berkata pihaknya menyasarkan untuk menjadikan Pusat Media IKIM sebagai sebahagian daripada ekosistem halal global melalui inisiatif baharu 2026 yang dikenali sebagai Global Halal Media Hub.

Menurut beliau, pelbagai platform termasuk radio, televisyen dan media baharu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh peranan IKIM sebagai badan pemikir kepada kerajaan, selain memfokuskan pembangunan industri halal yang bernilai trilion ringgit di peringkat antarabangsa.

Turut hadir majlis ini Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustazah Marhamah Rosli dan Pengarah Pusat EMAS, IKIM, Dr. Muhammad Hisyam Mohamad.

WhatsApp
Scroll to Top