KUALA LUMPUR, 5 Feb (BERNAMA) — Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur hari ini memperkenalkan penjenamaan semula hospital berkenaan selari dengan aspirasi untuk terus berkembang sebagai institusi penjagaan kesihatan yang progresif, dinamik dan berteraskan nilai keihsanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata Pusrawi bukan sekadar hospital pakar, malah sebuah institusi mesra ibadah dan patuh syariah yang mencerminkan pendekatan rahmatan lil alamin dalam perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata penubuhan Jabatan Rawatan Kanser Azman Hashim (JRKAH) menjadi indikator jelas komitmen hospital menyediakan rawatan kanser berkualiti tinggi dengan kepakaran terkini, kemudahan moden serta persekitaran yang kondusif dan menyantuni pesakit secara menyeluruh.

Majlis sama turut menyaksikan perasmian JRKAH sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh perkhidmatan rawatan kanser yang lebih komprehensif dan bersepadu.




