KUALA LUMPUR, 13 Jan (IKIM) – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri diseru agar melaksanakan tindakan susulan secara serius dan berkesan terhadap setiap ketetapan serta rumusan yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI).
Seruan itu dizahirkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang juga Pengerusi MKI, dengan menegaskan bahawa segala keputusan dan perakuan yang telah dirumuskan tidak wajar dibiarkan tanpa pelaksanaan, sebaliknya perlu dihormati dan diberi perhatian oleh semua pihak berkaitan termasuk agensi-agensi bertanggungjawab.

Menurut baginda, penghargaan terhadap ketetapan MKI penting bagi memastikan majlis itu tidak sekadar menjadi platform perbincangan, tetapi berperanan sebagai badan yang memberi impak sebenar melalui pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui.
Sultan Nazrin bertitah, sepanjang dua tahun baginda diamanahkan mempengerusikan MKI, pelbagai isu berkaitan hal ehwal Islam telah dibincangkan secara mendalam bagi mencapai persefahaman dan persepakatan, malah perkara-perkara tersebut turut dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Baginda menegaskan, aspek paling utama ialah tindakan susulan terhadap segala saranan dan rumusan agar ia tidak sekadar menjadi dokumen bertulis yang terpinggir dalam timbunan kertas.
“Ketetapan dan rumusan yang disusuli dengan pelaksanaan bersungguh-sungguh bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat, malah membantu membina imej positif kerajaan serta meningkatkan penghormatan, pemahaman dan penghayatan terhadap Islam, bukan hanya dalam kalangan umat Islam bahkan juga bukan Islam,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat MKI Ke-74 yang berlangsung di sini hari ini dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri Marhamah Rosli, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Mesyuarat MKI Ke-74 merupakan mesyuarat ketiga yang dipengerusikan Sultan Nazrin sejak baginda dilantik oleh Majlis Raja-Raja bermula 10 Mac 2024 dan tempoh tersebut dijadual berakhir pada 9 Mac ini.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli MKI, kakitangan urus setia serta lima jawatankuasa utama MKI atas komitmen melaksanakan amanah dan membentangkan laporan berkaitan bidang masing-masing.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar atas sumbangan beliau sepanjang menganggotai MKI.
Pada masa sama, Sultan Nazrin mengucapkan tahniah kepada Dr Zulkifli Hasan dan Marhamah Rosli atas pelantikan masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta mengalu-alukan penyertaan mereka dalam Mesyuarat MKI.




