SKUAD IHSAN MADANI AGIH BANTUAN BANJIR BERNILAI RM118,000 DI PAHANG

KUANTAN, 23 Dis (IKIM) — Kerajaan melalui Skuad Ihsan MADANI Hal Ehwal Agama terus memperkukuh usaha kebajikan dengan menyalurkan bantuan banjir kepada mangsa terjejas di Pahang, melibatkan sumbangan keseluruhan bernilai RM118,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan MADANI yang dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Beliau menyempurnakan penyerahan bantuan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) berupa bantuan tunai RM100 dan 300 pek foodbank bernilai RM100 setiap satu kepada 300 penerima, dengan jumlah peruntukan RM60,000, sebahagian daripada keseluruhan RM2.7 juta Program Bantuan Banjir YAPEIM 2025.

Zulkifli berkata misi bantuan ini turut melibatkan beberapa agensi di bawah Hal Ehwal Agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Dalam program sama, JAKIM menyerahkan 50 bakul makanan dan kit solat bernilai RM15,000, JAWI menyumbang lampin pakai buang bernilai RM3,000, YADIM mengagihkan 200 kit kebersihan bernilai RM6,000 manakala Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyumbang 300 pek barangan keperluan bernilai RM33,000.

YAPEIM diwakili Ketua Pengarahnya, Tuan Haji Zabidi Nasan, manakala program bantuan banjir ini turut dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Secara keseluruhan sejak 1985 hingga November 2025, YAPEIM telah menyalurkan bantuan berjumlah RM725 juta kepada lebih 10.1 juta penerima di seluruh negara melalui tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan, termasuk operasi pembiayaan mikro Ar-Rahnu YAPEIM di 201 cawangan seluruh negara.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADUN) Inderapura, Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Operasi) JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Haji Abdullah Zuhdee Ab Halim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Dato’ Haji Khirrizal Ab Rahman.

Zulkifli turut meluangkan masa menyantuni pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang terkesan akibat banjir apabila beberapa kawasan kampus dinaiki air sehingga paras pinggang, sekali gus menjejaskan urusan pembelajaran dan kehidupan harian pelajar.

Beliau menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa terlibat serta menegaskan komitmen berterusan pihak Hal Ehwal Agama untuk memastikan bantuan dan sokongan sewajarnya disalurkan kepada golongan terjejas.

Zulkifli di akhir ucapannya mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kesihatan yang baik serta diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang melanda, di samping berharap mereka dipermudahkan urusan sepanjang tempoh pemulihan pascabencana.

WhatsApp
Scroll to Top