YAPEIM PERUNTUK HAMPIR RM1.4 JUTA BANTU MANGSA BANJIR DI BEBERAPA NEGERI

PUTRAJAYA, 4 Dis (IKIM) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan hampir RM1.4 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Banjir YAPEIM 2025 dalam usaha membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas, termasuk Perlis, Perak, Kedah dan Kelantan.

Program bantuan itu dilancarkan hari ini oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim, dalam majlis peluncuran di Ibu Pejabat YAPEIM, Putrajaya. Inisiatif ini turut mendapat kerjasama strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Turut hadir majlis ini Ketua Pengarah YaPEIM, Haji Zabidi Nasan.

Menurut Abdul Khudus, bantuan yang disalurkan akan memberi tumpuan kepada dua fasa utama. Fasa pertama merangkumi penyediaan keperluan asas mangsa banjir seperti makanan kering, air mineral, kit kebersihan diri, selimut, tuala, pakaian asas, serta keperluan bayi dan wanita.

Fasa kedua pula melibatkan bantuan pasca banjir, termasuk kerja-kerja pembersihan rumah dan premis, baik pulih kerosakan, bantuan peralatan elektrik asas, pembekalan air bersih dan sokongan logistik. Bantuan ini bertujuan membantu mangsa kembali memulakan kehidupan seperti biasa selepas bencana.

Kerjasama antara YAPEIM, MAIWP, PNB dan TH dilihat sebagai manifestasi solidariti institusi ummah, menggabungkan kekuatan masing-masing dalam memastikan bantuan lebih tersusun dan berkesan.

Sejak 1985 hingga Oktober 2025, YAPEIM telah mengagihkan RM723.3 juta manfaat kepada 10.1 juta penerima di seluruh negara melalui tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.

YAPEIM turut mengendalikan perkhidmatan pembiayaan mikro melalui Ar-Rahnu YAPEIM yang memiliki 201 cawangan di seluruh negara, memberi peluang kepada peniaga kecil mendapatkan pembiayaan jangka pendek.

Sejak tahun 2000 hingga Oktober 2025, Ar-Rahnu YAPEIM telah membantu kira-kira sejuta penggadai dengan jumlah pembiayaan RM18.5 bilion melibatkan lebih 14.1 juta transaksi.

WhatsApp
Scroll to Top