TH SUMBANG AMBULANS 4X4 PERKUKUH OPERASI KECEMASAN DAN BENCANA BSMM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (IKIM) – Lembaga  (IKIM)Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan dua unit ambulans pacuan empat roda (4×4) kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi meningkatkan keupayaan operasi kecemasan dan respons bencana di seluruh negara, khususnya di kawasan yang berisiko tinggi dan sukar diakses.

Sumbangan bernilai RM570,000 melalui dana zakat wakalah itu merupakan sebahagian komitmen berterusan TH dalam menyokong usaha kemanusiaan, kesiapsiagaan bencana serta menjaga kebajikan ummah.

Ambulans 4×4 berkenaan bakal memperkukuh kemampuan BSMM menembusi kawasan pedalaman, laluan berbukit, lokasi dilanda banjir dan situasi kecemasan yang tidak dapat dimasuki ambulans biasa, membolehkan pasukan perubatan memberi rawatan awal dengan lebih pantas pada detik kritikal untuk menyelamatkan nyawa.

Dilengkapi peralatan perubatan penting seperti alat resusitasi, oksigen, Defibrilator Luaran Automatik (AED) dan kit trauma, ambulans berfungsi sebagai bilik rawatan bergerak yang mampu mengendalikan pelbagai insiden kecemasan sebelum pesakit dipindahkan ke hospital, di samping menyokong operasi besar seperti banjir, tanah runtuh, misi mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan di komuniti luar bandar.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad, berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen TH membantu agensi barisan hadapan seperti BSMM.

“Dengan penyerahan ambulans 4×4 ini, kami berharap lebih ramai mangsa dapat dibantu dengan lebih cepat dan berkesan, khususnya di kawasan yang sebelum ini sukar dicapai. TH percaya penambahan aset ini akan mengukuhkan jaringan bantuan antara TH, BSMM dan agensi penyelamat lain, sekaligus memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Setiausaha Agung BSMM, Dato’ Danial Iskandar Abdul Rahman, pula menzahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut, yang disifatkan sebagai amat signifikan dalam meningkatkan keupayaan bertindak pihaknya.

“Ambulans 4×4 ini memberi kami fleksibiliti dan keupayaan bergerak yang lebih baik, sekali gus memastikan mangsa menerima rawatan segera dan selamat. Kami amat menghargai sokongan TH terhadap usaha kemanusiaan yang menjadi teras perjuangan BSMM,” katanya.

BSMM kini mempunyai lebih 240,000 sukarelawan dan 179 cawangan di seluruh negara, menjadikannya antara organisasi kemanusiaan terbesar di Malaysia.

Setiap tahun, organisasi itu mengendalikan lebih 14,000 panggilan kecemasan, 86 operasi ambulans dan membantu lebih 1,500 penerima manfaat melalui pelbagai program melibatkan kesihatan komuniti, kesiapsiagaan bencana dan respons kemanusiaan.

Dalam insiden banjir besar pada tahun-tahun lalu, pasukan BSMM kerap menjadi antara yang terawal tiba di lokasi bencana, termasuk meredah air separas pinggang dan mengusung mangsa warga emas secara manual apabila laluan tidak dapat dilalui kenderaan biasa.

Penambahan ambulans 4×4 ini dijangka mengukuhkan lagi keupayaan BSMM mendepani situasi kecemasan serta memperluaskan capaian bantuan kepada rakyat di seluruh negara.

WhatsApp
Scroll to Top