DANA WAKAF IKIM PACU PEMERKASAAN ILMU DAN MEDIA ISLAM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (IKIM) – Dana Wakaf IKIM dilancarkan hari ini sebagai platform kewangan strategik bagi memperkukuh pembangunan ilmu, penyiaran Islam serta agenda sosioekonomi ummah melalui dua fokus utama, iaitu Wakaf IlmudanWakaf Media.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam ucapan perasmian berkata Dana Wakaf IKIM ini diharap dapat memacu penerbitan karya ilmiah, seminar akademik, pembangunan fasiliti keilmuan serta pengukuhan operasi IKIMfm, tvIKIM dan penerbitan dokumentari dakwah berkualiti.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur itu menandakan satu langkah strategik bagi memperluas instrumen wakaf dalam memperkasa pendidikan, penyiaran dan dakwah berasaskan media.

Dalam ucapannya, Mohd Na’im menegaskan bahawa wakaf merupakan “pelaburan akhirat” yang memiliki kuasa jangka panjang dalam membina tamadun Islam.

“Wakaf bukan sekadar amalan kebajikan, tetapi nadi yang menghidupkan tamadun ummah. Ia terbukti dalam sejarah, daripada pembinaan sekolah dan madrasah hingga hospital dan pusat sosial,” katanya.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman.

Beliau turut menekankan cabaran global yang melanda dunia dengan ketidakseimbangan ekonomi, kemiskinan, kebuluran dan kekurangan akses pendidikan asas yang menurutnya memerlukan solidariti dan sistem sokongan seperti wakaf untuk mengurangkan jurang tersebut.

Mohd Naim berkata, inisiatif Dana Wakaf IKIM ini selaras dengan Gagasan Malaysia MADANI dan Pelan Transformasi Al-Falah 2023–2027 yang menekankan nilai ilmu, integriti, ihsan dan kesejahteraan sejagat.

“Hari ini kita bukan hanya membina masjid atau pusat pendidikan, tetapi turut mewakafkan gelombang radio dan ruang digital sebagai medium dakwah,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat untuk bersama menyumbang ke Dana Wakaf IKIM, sambil mengingatkan bahawa setiap sumbangan akan menjadi amal jariah berpanjangan sebagaimana dijanjikan dalam Surah al-Baqarah ayat 261.

Turut hadir majlis perasmian Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil ketika ditemui wartawan berkata, kelestarian sesebuah institusi bergantung kuat kepada kekuatan dana wakaf.

Jelasnya, banyak universiti terkemuka dunia mampu bertahan dan berkembang kerana disokong oleh dana wakaf serta aset yang bernilai berbilion dolar.

Menurut beliau, Dana Wakaf IKIM diharap dapat menggerakkan sokongan masyarakat untuk melestarikan pembangunan ilmu dan media Islam, bukan sahaja untuk umat Islam di Malaysia dan di peringkat antarabangsa, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat bukan Islam melalui penyebaran pengetahuan dan kefahaman yang lebih luas.

WhatsApp
Scroll to Top