KUALA LUMPUR, 8 Oktober (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa larangan menghidangkan minuman beralkohol dalam majlis rasmi kerajaan adalah dasar yang wajar dikekalkan kerana ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Maqasid Syariah.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata pendirian tersebut mencerminkan identiti negara yang menjunjung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, amalan rasmi kerajaan sewajarnya menggambarkan nilai dan adab yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara, khususnya Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan yang menuntut agar majlis rasmi memelihara tatasusila luhur dan menjauhi unsur yang boleh menghilangkan kewarasan akal.
“Pendirian kerajaan untuk tidak menghidangkan arak dalam majlis rasmi bukan perkara baharu, sebaliknya dasar konsisten sejak lebih lima dekad lalu melalui Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 1970, disusuli WP 5.1/2013 dan penegasan semula pada 24 September 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, larangan ini bukan sekadar bersifat pentadbiran, tetapi juga selari dengan prinsip Sadd al-Zhara’i dalam hukum Islam, iaitu menutup jalan yang membawa kepada kerosakan.
Beliau berkata menghidangkan arak berpotensi menimbulkan kemudaratan seperti hilang pertimbangan, gangguan ketenteraman dan pencemaran imej acara rasmi.
Dalam konteks yang lebih luas, larangan itu juga selaras dengan Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan kesejahteraan umum dan keharmonian antara penganut agama di Malaysia.
“Sebagaimana masyarakat menghormati larangan makanan tertentu bagi penganut agama lain, demikian juga arak tidak wajar dihidangkan dalam majlis rasmi negara. Sikap saling menghormati ini mencerminkan roh Maqasid Syariah dan asas pembinaan negara MADANI,” jelas beliau.
IKIM dalam kenyataan itu turut menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan agar mematuhi sepenuhnya arahan perbendaharaan sedia ada tanpa sebarang kompromi.
“Sebarang percubaan untuk melanggarnya bukan sahaja mencabar Perlembagaan dan Rukun Negara, tetapi juga menjejaskan prinsip kesejahteraan umum serta maruah negara,” tegasnya.




