TH LANCAR PROGRAM LITERASI KEWANGAN “CILIK-CILIK DAH CELIK” DIDIK KELUARGA MUDA URUS WANG BIJAK SEJAK AWAL

KUALA LUMPUR, 6 Okt (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik” bagi membantu pendeposit membina tabiat kewangan positif dan meningkatkan ilmu pengurusan kewangan demi mencapai impian menunaikan ibadat haji pada masa hadapan.

Program tersebut dilancarkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Mustakim Mohamad pada Sabtu (4 Oktober) di Menara TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan kerjasama strategik antara TH dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyasarkan kira-kira 100 keluarga muda dari sekitar Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan sebagai kumpulan perintis.

Menurut Mustakim, langkah ini penting susulan statistik menunjukkan 53 peratus pendeposit TH mempunyai baki simpanan kurang daripada RM1,300, manakala hampir separuh daripada bakal jemaah haji musim 1446H/2025M terpaksa menolak tawaran haji kerana tidak memiliki simpanan mencukupi.

“Tren ini membuktikan keperluan untuk TH mendidik masyarakat Islam, terutama para pendeposit mengenai pengurusan kewangan dan membudayakan amalan menabung secara konsisten demi mencapai matlamat menunaikan ibadah haji,” jelas beliau.

Program “Cilik-Cilik Dah Celik” melibatkan enam modul utama meliputi transformasi minda, perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai, pembinaan kekayaan, perlindungan daripada penipuan kewangan serta pengurusan hutang.

Sepanjang enam bulan pelaksanaan, ibu bapa peserta akan dibimbing melalui bengkel pendidikan kewangan, sesi simulasi, pembelajaran atas talian, aktiviti gamifikasi serta pemantauan simpanan anak-anak secara berterusan.

Peserta turut layak menerima ganjaran bulanan dan hadiah utama berdasarkan komitmen dan konsistensi simpanan.

TH memilih keluarga muda sebagai kumpulan sasaran kerana golongan ini berada pada fasa penting pembentukan tabiat kewangan keluarga, selain berdepan komitmen besar seperti pendidikan, perumahan dan kos sara hidup.

Seiring perkembangan dunia digital, program ini turut memberi penekanan terhadap pencegahan penipuan kewangan, termasuk pendedahan mengenai cara mengenal pasti ‘scammer’, melindungi data peribadi serta melaporkan cubaan penipuan kepada pihak berkuasa.

Melalui inisiatif ini, TH berharap dapat melahirkan generasi celik kewangan yang bukan sahaja bijak mengurus wang, tetapi juga mampu merancang perjalanan mereka menuju ke Tanah Suci dengan lebih yakin dan teratur.

WhatsApp
Scroll to Top