KUALA LUMPUR, 2 Okt (IKIM) – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) malam ini mengesahkan bahawa kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza telah ditahan pihak berkuasa Israel.
Menurut Ketua Pengarah SNCC, Dato’ Sani Araby Abdul Alim Araby, pengesahan dibuat pada jam 4.25 petang waktu Malaysia selepas hampir 20 jam daripada serangan yang berlaku ke atas flotilla berkenaan.

“Laporan awal turut mengesahkan bahawa kapal-kapal seperti Sirius dan Estrella telah dibawa masuk ke Pelabuhan Ashdod di Ashkelon. Kami menjangkakan sebahagian delegasi mungkin telah dipindahkan ke darat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan perundangan di Jordan kini berada dalam keadaan siap siaga untuk mewakili delegasi Malaysia dalam sebarang proses soal siasat dan tindakan susulan yang berkaitan.
SNCC juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan segera mengadakan pertemuan dengan keluarga delegasi bagi menyampaikan perkembangan terkini serta memastikan sokongan penuh diberikan kepada mereka.

“Pihak keluarga akan dimaklumkan secara berterusan mengenai situasi yang sedang berlaku agar mereka mendapat kepastian dan ketenangan,” tambahnya.
Orang ramai boleh mengikuti maklumat rasmi melalui laman web www.sumudnusantara.com atau menjejak perkembangan flotilla melalui pautan tracker.sumudnusantara.com.