GLOBAL SUMUD FLOTILLA: JAKIM, JAWI ANJUR SOLAT HAJAT & QUNUT NAZILAH DI MASJID DAN SURAU

KUALA LUMPUR, 2 Okt (IKIM) – Semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan Solat Hajat serta Qunut Nazilah bermula malam ini susulan tindakan rejim Israel memintas serta menghalang pasukan Global Sumud Flotilla ke Gaza, Palestin.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, solat hajat itu akan diadakan selepas Solat Maghrib pada malam ini dan diteruskan selepas Solat Jumaat esok (3 Oktober 2025).

Selain itu, khutbah Jumaat khas berkaitan isu Palestin akan turut disampaikan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

“Saya juga menyeru agar semua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri turut melaksanakan langkah yang sama demi menyatukan doa seluruh umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla, khususnya rakyat Malaysia yang terlibat, serta memohon kesejahteraan dan perlindungan kepada rakyat Palestin yang terus dizalimi.

WhatsApp
Scroll to Top