KUALA LUMPUR, 11 Sept (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar malam tadi melancarkan Tamil Qur’an Voice Over dan 63 Gems Book, sebuah inisiatif dakwah yang memberi peluang kepada masyarakat memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Qur’an dalam bahasa yang dekat dengan mereka.
Menurut beliau, projek ini bukan sekadar penerbitan, tetapi selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan belas ihsan, hormat, amanah dan tanggungjawab.

Mohd Na’im berkata ia juga mengiktiraf sumbangan komuniti Muslim Tamil dalam bidang agama, pendidikan dan kepimpinan masyarakat di negara ini.
Beliau berkata rakaman audio al-Qur’an dalam bahasa Tamil memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, pelajar, ibu bapa serta golongan kurang upaya penglihatan.

“Ia boleh digunakan di rumah, masjid, sekolah, hospital, penjara dan pusat komuniti. Namun, perlu diingat bahawa terjemahan hanyalah penjelasan makna; ia tidak menggantikan al-Qur’an dalam bahasa Arab yang asli,” katanya.
Sementara itu, buku 63 Gems pula mengetengahkan mutiara pengajaran al-Qur’an dan Sunnah dalam bentuk mudah dan praktikal, antaranya nilai syukur, amanah, sabar dan kasih sayang.

Mohd Na’im turut menyeru masyarakat memanfaatkan inisiatif ini dengan mendengar audio bersama keluarga selepas Maghrib, menggunakannya di masjid atau sekolah, menyumbangkan buku dan pemacu USB kepada mereka yang memerlukan serta mengamalkan sekurang-kurangnya satu nilai “gem” seminggu.
Lebih bermakna, sebahagian hasil daripada projek ini akan disalurkan kepada misi kemanusiaan termasuk Palestin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, sarjana, penyunting dan sukarelawan, khususnya Dr. S.A. Seyed Ibrahim serta seluruh pasukan yang menjayakan usaha murni ini.
“Semoga ia menjadi amal jariah berpanjangan (ṣadaqah jāriyah) yang mendekatkan kita kepada al-Qur’an serta rahmat Allah SWT,” katanya.