KERJASAMA MEDIA PERKUKUH KEMPEN MALAYSIA #QURANHOUR 2025

SHAH ALAM, 8 Ogos (IKIM) – Malaysia #QuranHour yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya tahun ini akan berlangsung pada 30 Ogos 2025 dengan tema “Merdeka dengan Rasa”, berpandukan tiga surah utama iaitu Surah al-Saff, Surah al-Balad dan Surah Ali ‘Imran.

Majlis Taklimat Sinergi Media yang diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd hari ini menyaksikan komitmen berterusan pelbagai agensi media dan rakan strategik, termasuk sokongan baharu daripada Sekretariat Merdeka.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata kempen kali ini menekankan pendekatan “Ahassa” iaitu rasa empati mendalam yang diterjemah kepada tindakan.

Beliau berkata pendekatan itu berpandukan nilai kisah para Hawariyyun dan mesej Surah al-Balad mengenai keperluan memahami penderitaan.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai Saidina Umar moden, pemimpin berempati yang bukan sekadar melihat derita rakyat tetapi hadir dengan tindakan dan rahmah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata kolaborasi dengan Sekretariat Merdeka memberi nafas baharu dalam usaha menjadikan al-Quran sebagai panduan memerdekakan manusia daripada penindasan sesama manusia kepada penyembahan tulus kepada ALLAH SWT.

Malaysia #QuranHour 2025 akan berlangsung secara serentak di seluruh negara, dengan siaran langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula pukul 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

RTM bertindak sebagai penyiar utama, disokong oleh sinergi media seperti IKIM FM, TV IKIM, Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, Zayan FM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.

Semua rakan media dialu-alukan mengambil siaran langsung dan menghebahkan mesej “Merdeka dengan Rasa”.

Kempen ini turut mendapat naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Rumah Ngaji serta rangkaian Sahabah al-Quran di dalam dan luar negara.

Tema “Merdeka dengan Rasa” menyeru masyarakat membebaskan diri daripada keangkuhan, penindasan dan ketidakadilan, menuju pembinaan masyarakat yang adil, berihsan dan saling menyantuni.

Malaysia #QuranHour 2025 bukan sekadar kempen membaca al-Quran, tetapi satu gerakan nilai mengajak rakyat merasai, menyahut dan bertindak menjadikan ALLAH SWT sebagai pusat perjuangan, bukan kuasa, harta atau populariti.

WhatsApp
Scroll to Top