JAKIM NAFI DAKWAAN KELEWATAN, TEGAS PROSES PENSIJILAN HALAL DILAKSANA SECARA TELUS DAN BERINTEGRITI

Putrajaya, 25 Julai (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan bahawa kelewatan daripada pihaknya menjadi punca kegagalan syarikat katering mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) seperti yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, JAKIM menjelaskan bahawa dakwaan tersebut berbangkit daripada laporan sebuah akhbar tempatan bertajuk “JAKIM siasat isu hospital beri kontrak katering RM25.64 juta kepada syarikat tiada sijil halal” yang disiarkan pada 22 Julai 2025.

Susulan laporan itu, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan pihak Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

Menurut JAKIM, siasatan mendapati isu yang timbul berpunca daripada salah faham mengenai Pegawai Bertanggungjawab (PIC) dalam proses pensijilan halal yang bukan merupakan pegawai dari JAKIM, sebaliknya merupakan PIC dari pihak syarikat itu sendiri.

Tambah JAKIM, PIC asal ketika itu sedang bercuti bersalin dan syarikat telah mencalonkan pengganti, namun pegawai baharu tersebut masih belum menjalani latihan yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Eksekutif Halal.

“JAKIM mengambil maklum penjelasan pihak HCTM dan menjelaskan bahawa proses permohonan SPHM mempunyai tatacara tertentu yang perlu dipatuhi termasuk pelantikan dan latihan PIC di peringkat syarikat,” kata Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa JAKIM kekal komited dalam memastikan proses pensijilan halal negara dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mengikut piawaian ketat, selaras dengan prinsip Tadbir Urus Baik dan Amanah dalam kerangka Malaysia MADANI.

Menurut kenyataan tersebut, pihak HCTM juga menunjukkan komitmen tinggi untuk memastikan pematuhan terhadap semua keperluan pensijilan halal, bagi menjaga kemaslahatan pengguna Muslim dan memartabatkan nilai kesejahteraan dan ihsan.

Sebagai agensi autoriti halal negara, JAKIM juga mempelawa mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat atau penjelasan lanjut berhubung proses pensijilan halal sebagai sebahagian daripada usaha mendidik dan mempermudah pematuhan di pelbagai peringkat.

“Pendekatan inklusif ini mencerminkan prinsip keterbukaan yang mendokong aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan bertanggungjawab,” jelas beliau lagi.

WhatsApp
Scroll to Top