IKIM ANJUR PERSIDANGAN WAKAF MUAQQAT, TEROKA POTENSI BAHARU PERWAKAFAN DI MALAYSIA

Kuala Lumpur, 23 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan hari ini menganjurkan Persidangan Wakaf Muaqqat bertemakan “Meneroka Potensi dan Cabaran dalam Konteks Perundangan dan Pembangunan Wakaf di Malaysia”, dalam usaha menyuburkan kefahaman masyarakat terhadap konsep wakaf bertempoh serta peranannya dalam pembangunan negara.

Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Dr. Muhammad Hisyam Mohamad dalam ucapan pembukaan menyatakan bahawa wakaf merupakan institusi ibadah yang berperanan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam, bahkan telah lama wujud dalam sejarah peradaban Islam.

“Wakaf menjadi instrumen pembangunan sosial yang lestari tanpa terlalu bergantung kepada dana kerajaan. Ia adalah manifestasi kepedulian umat terhadap keadilan sosial dan pengagihan kekayaan,” ujar beliau.

Tambah beliau, meskipun wakaf telah lama dipraktikkan di Malaysia, pelaksanaan wakaf dalam bentuk wakaf muaqqat atau wakaf bertempoh masih belum berkembang secara meluas, dan hanya beberapa negeri seperti Johor, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Terengganu yang mempunyai asas perundangan membenarkan pelaksanaannya.

Muhammad Hisyam turut menyambut baik inisiatif JAWHAR dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dalam menganjurkan bengkel berkaitan penyediaan manual wakaf bertempoh, yang disifatkan sebagai langkah positif untuk memposisikan wakaf muaqqat dalam arus perdana perwakafan negara.

“Penganjuran persidangan ini tidak bertujuan mengambil alih peranan JAWHAR atau YWM, tetapi menyumbang kepada penyebaran ilmu dan kefahaman Islam yang benar, sejajar dengan mandat IKIM sebagai institusi pemikir,” katanya.

Beliau berkata antara objektif utama persidangan ini termasuklah meneroka pelbagai sektor berpotensi untuk pelaksanaan wakaf muaqqat seperti bidang pendidikan, kesihatan, teknologi digital, pertanian, perumahan transit dan juga pembiayaan mikro.

Selain itu katanya, persidangan ini turut bertujuan memperkaya sumber literatur tempatan berkaitan wakaf muaqqat sebagai rujukan pelbagai pihak, khususnya dalam konteks penyelidikan, dasar dan pelaksanaan.

Objektif ketiga lebih bersifat strategik iaitu mencadangkan pelaksanaan kajian ijtihad secara berpusat dengan melibatkan kerjasama antara agensi pusat dan negeri, institusi akademik serta pihak industri bagi memperkukuh dasar dan pelaksanaan wakaf muaqqat secara menyeluruh di Malaysia.

Turut hadir persidangan ini Ahli Lembaga Pengarah IKIM, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin dan Dato’ Haji Mohammad Sahar Mat Din.

IKIM turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Wakaf Malaysia yang menghantar wakil sebagai moderator program, menunjukkan komitmen bersama dalam memperkasa agenda wakaf negara.

Menutup ucapannya, Muhammad Hisyam menegaskan bahawa konsep wakaf muaqqat tidak bercanggah dengan prinsip wakaf asal, bahkan menjadi bukti fleksibiliti syariah dalam merespon keperluan semasa umat Islam.

“Kita mahu melihat wakaf sebagai instrumen pembaharuan sosial yang dinamik, responsif dan inklusif – bukan hanya simbol warisan tetapi pemacu pembangunan sebenar negara,” tegas beliau.

Persidangan ini menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai sektor termasuk pentadbir wakaf negeri, ahli akademik, penggubal dasar dan pihak industri, dalam satu platform ilmiah yang dijangka membuka jalan baharu ke arah institusi wakaf yang lebih mantap dan progresif.

WhatsApp
Scroll to Top