MARDI AKAN PERKENAL TIGA VARIETI BAHARU DURIAN

KUALA KANGSAR, 19 Julai – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan mengeluarkan tiga varieti baharu durian yang dijangka dalam tempoh dua tahun akan datang. 

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata ketika ini pihaknya masih dalam peringkat penilaian terhadap beberapa durian hibrid yang berpotensi menghasilkan klon baharu.

“Kita perlu melihat kesesuaian (penanaman) dengan tempat lain kerana selain di MARDI Kuala Kangsar, kita ada sebahagian (penanaman durian) di MARDI Jerangau (Terengganu) yang kita cuba ketengahkan untuk varieti baharu nanti.

“Insya-Allah dalam setahun dua kita boleh dapat varieti baharu. Kod durian juga kita masih belum tentukan lagi, tunggu kita lancarkan (varieti durian baharu) dengan nama yang bersesuaian,” katanya selepas program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Zabawi berkata durian hibrid MRDI Super 88 (MS88) akan diberikan nama baharu yang lebih menarik untuk peminat raja buah itu. 

“Kita cuba tukar nama durian MS88 yang nampak komersial, sekarang ini macam-macam ada seperti Tupai King yang sebenarnya itu adalah varieti lama,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata sebanyak 13,000 pokok durian varieti MS88 ditanam di seluruh negara dengan dipantau sepenuhnya oleh MARDI. 

“Setakat ini, ada pokok sudah berusia antara dua dan tiga tahun. Jadi, dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, ia boleh dipasarkan secara meluas,” katanya.

Sumber: BERNAMA, Jurugambar: Fatkhulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top