Kuala Lumpur, 17 Julai (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar hari ini merasmikan Program Generasi Qawwam yang bertemakan “Anak Muda, Hero Keluarga” anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).
Dalam ucapannya, Mohd Na’im merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pihak penganjur atas kolaborasi bermakna yang disifatkan sebagai sangat tepat pada masanya.

Menurut beliau, dalam dunia hari ini yang penuh cabaran, pendekatan menyeluruh amat penting dalam membina karakter generasi muda yang bukan sahaja cekal dan berwibawa, tetapi juga mempunyai kefahaman mendalam tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga serta masyarakat.
“Prinsip Islam meletakkan lelaki dan wanita pada posisi masing-masing yang saling melengkapi. Kaum lelaki adalah pemimpin dan pelindung kepada wanita, sebagaimana ditegaskan dalam ayat 34 Surah An-Nisa’,” ujar beliau.

Mohd Na’im menegaskan bahawa anak-anak muda hari ini, lelaki mahupun perempuan, perlu dididik dengan sifat kepimpinan dan tanggungjawab sejak awal justeru generasi muda diseru agar mempersiapkan diri bukan hanya untuk berjaya dalam akademik, tetapi juga berperanan besar dalam pembangunan ummah.
Mengulas tema program, beliau menyifatkan tema “Anak Muda, Hero Keluarga” sebagai satu seruan jelas bahawa pembentukan peranan pemimpin keluarga bermula sejak usia muda, dan bukannya selepas perkahwinan.

Mengulas lanjut beliau berkata bahawa anak lelaki perlu membina sifat kepimpinan dan pelindung dalam keluarga manakala anak perempuan pula menjadi tunjang kepada kelembutan dan penjaga maruah keluarga.
“Generasi Qawwam adalah jelmaan nilai MADANI. Berilmu, bertanggungjawab, dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” jelas beliau lagi, merujuk kepada matlamat besar Gagasan MADANI yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri.

Beliau turut menzahirkan harapan agar inisiatif seperti Lelaki Qawwam diperluas dan diperhebat di semua peringkat umur dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan, pendakwah dan pempengaruh media sosial.
Beliau menyeru agar agenda pembinaan masyarakat MADANI yang berakhlak dan berempati diteruskan melalui program seumpama ini yang diyakini mampu membawa impak jangka panjang terhadap pembentukan keluarga dan negara bangsa.

“Saya berdoa agar segala usaha kita hari ini menjadi asbab turunnya rahmat dan keberkatan Allah SWT dalam keluarga kita semua,” katanya.
Program Generasi Qawwam menjadi platform penting dalam memperkasakan golongan muda dengan nilai-nilai kepimpinan berteraskan agama, demi melahirkan pemimpin keluarga dan masyarakat yang sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir majlis ini Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Pemangku Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Haji Yahya dan Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin.