PODCAST “BUKAN MAKSUM” DARI DALAM PENJARA TERUS MEMBERI KESEDARAN KEPADA MASYARAKAT

Kuala Lumpur, 10 Julai (IKIM) – TVIKIM meneruskan penyiaran program podcast Bukan Maksum episod kedua bertajuk Bicara Menyembuhkan – Peranan Psikologi di Sebalik Tirai Besi akan ditayangkan pada 11 Julai 2025, jam 11:00 pagi di laman rasmi www.tvikim.my.

Program yang diterbitkan oleh TVIKIM dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia ini membawa pendekatan unik dan berani dalam menyampaikan mesej keinsafan dan kesedaran masyarakat melalui kisah-kisah benar dari sebalik tirai besi.

Podcast ini mengetengahkan pengalaman banduan dengan penekanan terhadap aspek pemulihan, kesihatan mental dan peluang kedua dalam kehidupan.

Menurut Penerbit Rancangan Kanan TVIKIM, Norhaffizah Razak, program ini bukan sekadar mendedahkan kisah banduan, malah memberi tumpuan kepada ibrah dan pengajaran yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

Setiap episod berdurasi 30 minit membincangkan pelbagai jenayah berat seperti pembunuhan, jenayah seksual, pecah amanah, penyalahgunaan dadah serta pendekatan rehabilitasi yang dilaksanakan oleh pihak penjara.

Episod pertama telah disiarkan pada 1 Syawal 2025 dan akan diteruskan siaran untuk 13 episod setiap hari Jumaat jam 11:00 pagi di laman rasmi www.tvikim.my.

Menariknya dalam episod terbaharu ini, penonton akan dibawa menyelami sisi yang jarang diketengahkan, psikologi banduan bersama Ketua Seksyen Pegawai Psikologi Penjara Kajang, Abd Haris Mohd Darudin.

Episod ini menyentuh keperluan emosi dan mental banduan yang tidak boleh dirawat dengan ubat semata-mata, tetapi dengan pendengaran dan kefahaman.

“Bukan semua luka boleh dirawat dengan ubat, ada luka yang hanya sembuh apabila kita mendengar,” ujar Tuan Abd Haris dalam episod tersebut.

Podcast Bukan Maksum berkonsepkan bual bicara rahsia dengan tidak mendedahkan identiti sebenar banduan yang dikendalikan oleh penyampai Inspirasi Pagi IKIMfm, Tyzo Xander bersama Hj. Ikhram Husin dan menampilkan pegawai penjara sebagai panel jemputan bagi mengupas isu-isu dari perspektif profesional.

TVIKIM berharap podcast Bukan Maksum dapat memberikan impak positif dalam membuka mata masyarakat terhadap isu pemulihan banduan dan kepentingan memberi peluang kedua kepada mereka yang pernah tersilap.

WhatsApp
Scroll to Top