PENGURANGAN KEMUDARATAN PERLUAS FOKUS, SENTUH ISU NCD DAN NILAI ISLAM – DATO’ LUKANISMAN

Kuala Lumpur, 1 Julai (IKIM) – Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni hari ini merasmikan Persidangan Meja Bulat Media Berkenaan Pengurangan Kemudaratan 2025 yang berlangsung di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Persidangan anjuran Yayasan AIDS Malaysia dan Harm Reduction Action Network (HaRAN) ini turut mendapat sokongan dana daripada Kementerian Kewangan Malaysia, Yayasan Sime Darby dan Humanize Malaysia.

Mengangkat tema “Pendekatan Pengurangan Kemudaratan: Memperkukuh Kesihatan Awam, Kelestarian Ekonomi dan Nilai Islam”, Lukanisman menegaskan kepentingan pendekatan ini dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negara secara holistik dan inklusif.

“Malaysia antara negara terawal di Asia yang memperkenalkan Program Pertukaran Jarum dan Picagari (NSEP) serta Terapi Gantian Metadon (MMT). Hasilnya, kadar jangkitan HIV dalam kalangan pengguna dadah suntikan telah menunjukkan penurunan ketara sejak 2006,” katanya.

Beliau turut berkongsi kajian yang membuktikan bahawa setiap pelaburan RM1 dalam NSEP mampu memberi pulangan sebanyak RM4, sekali gus menzahirkan kelebihan pelaburan dalam pencegahan berbanding rawatan jangka panjang.

Selain HIV, pendekatan pengurangan kemudaratan kini diperluaskan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan penyakit berkaitan penggunaan gula serta tembakau.

Intervensi awal seperti penyediaan alternatif yang lebih selamat, pendidikan awam dan reformasi dasar antara yang ditekankan dalam usaha ini.

Lukanisman turut merujuk kepada Kertas Putih Kesihatan 2023 yang mengiktiraf pendekatan ini sebagai sebahagian daripada strategi penting dalam membina sistem kesihatan masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“Media mempunyai peranan penting untuk membentuk persepsi masyarakat terhadap pendekatan ini tanpa stigma. Liputan yang beretika dan berasaskan bukti adalah kunci kejayaan strategi pengurangan kemudaratan,” jelas beliau lagi.

Persidangan ini dilihat sebagai platform strategik yang menghimpunkan pengamal media, pakar kesihatan, tokoh agama dan pembuat dasar bagi membincangkan naratif kesihatan awam yang inklusif, progresif dan berteraskan nilai kemanusiaan serta maqasid syariah.

Mengakhiri ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar wacana seperti ini menjadi langkah ke arah transformasi sistem kesihatan negara yang lebih menyeluruh.

Ahli panel terlibat dalam persidangan termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil; Presiden HaRAN, Dr. Anita Suleiman; dan Felo Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) UKM, Dr. Muhammed Abdul Khalid, masing-masing telah berkongsi pandangan bernas daripada lensa agama, kesihatan awam dan daya tahan ekonomi negara.

WhatsApp
Scroll to Top