Putrajaya, 7 Julai (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan rasa dukacita dan memandang serius laporan media berkaitan siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang penceramah bebas yang didakwa terlibat dalam penyebaran video seks.
Beliau menegaskan bahawa insiden tersebut bukan sahaja mencemar maruah individu yang terlibat, tetapi turut mencalarkan imej institusi dakwah dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap para agamawan.
“Kedudukan sebagai pendakwah bukanlah lesen untuk memperalatkan agama demi kepentingan peribadi atau terlibat dalam perlakuan tidak bermoral yang bercanggah dengan undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa golongan pendakwah, khususnya yang bergerak secara bebas perlu sentiasa menjaga akhlak, integriti dan maruah diri sesuai dengan ajaran Islam.
Dalam hal ini, beliau menyeru agar para penceramah mematuhi etika serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Sebagai langkah memperkasakan institusi dakwah yang lebih tersusun dan berintegriti, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah melaksanakan program seperti Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) sejak tahun 2014 dan sehingga kini, seramai 364 pendakwah muda telah menjalani latihan intensif menerusi dua program tersebut.
“Inilah antara usaha kita untuk melahirkan pendakwah yang mencerminkan ciri-ciri ummah MADANI,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman sebelum siasatan selesai, dan pada masa yang sama menolak budaya “aib-mengaibkan” yang kini menjadi semakin membimbangkan.
“Kerajaan MADANI komited untuk memperkasakan ekosistem dakwah yang profesional, beretika dan membawa rahmat. Para pendakwah perlu menjadi cerminan akhlak Rasulullah SAW dan menjaga amanah dakwah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.