BIRMINGHAM, 3 Julai (IKIM) – Atlet dart Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus mengharumkan nama negara apabila berjaya menambah koleksi pingat di pentas antarabangsa menerusi kejayaan cemerlang di kejohanan World Police and Fire Games (WPFG) 2025 yang berlangsung di Birmingham, Alabama, Amerika Syarikat.

Dalam saingan mendebarkan di gelanggang Birmingham-Jefferson Convention Complex (BJCC) semalam, pasangan Men Doubles (B Division) JBPM membuktikan kehebatan mereka apabila meraih pingat emas selepas menewaskan pencabar handal dari seluruh dunia dengan lontaran tepat dan strategi permainan mantap.

Pasangan yang dianggotai oleh PBK II Mamat Kilau Mohd Ismail dan PBK II Mohamad Haramaini Kamaludin itu menampilkan aksi konsisten sepanjang perlawanan sehingga berjaya mengungguli acara tersebut.

Manakala pasangan Men Doubles (A Division) JBPM, PBK II Junarizal Jusoh dan PBK II Shaiful Anuar Wahab turut mencipta kejutan apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan seterusnya membawa pulang pingat gangsa.

Dalam pada itu pasukan Dart JBPM meneruskan momentum cemerlang mereka di gelanggang berprestij BJCC apabila berjaya menambah lagi koleksi pingat dalam acara Men’s Single Cricket dan Women’s Single Cricket pada hari ini.

PB Rosbaizuranie Bokun merangkul pingat emas dalam kategori Women’s Single Cricket manakala PBK II Mamat Kilau Mohd Ismail merangkul pingat Perak dalam kategori Men’s Single Cricket.

Sementara itu Pasukan Tenpin Bowling JBPM pula tampil penuh bergaya, mempamerkan aksi mengagumkan yang memukau setiap penonton di Vestavia Bowl, WPFG 2025.

Kemenangan hasil gabungan strategi dan ketepatan balingan ini menyaksikan JBPM menguasai gelanggang dengan empat emas menerusi Women’s Single (B Division), PB Nurul Hashimah Affandi; Mix’s Double (A Division), TPgB II Suhada Mohd Sayuthi dan PKPgB Mohd Faizal Zainor Halim; Men’s Double (B Division), PgKB I Mohamad Fauzi Mohamat Hj. Kifli dan PgKB II Azrinnor Ahmad; serta Mix’s Double (A Division), PB Tg Ahmad Zaim Tg Abu Bakar dan PB Nurul Hashimah Affandi.

Tiga pingat perak turut diraih menerusi ketekunan atlet dalam kategori Men’s Single (B Division), PgKB I Mohamad Fauzi Mohamat Hj. Kifli; Women’s Single (A Division), TPgB II Suhada Mohd Sayuthi; dan Men’s Single 50+ (B Division), PgKB II Azrinnor Ahmad.

Sementara itu pingat gangsa disumbangkan melalui Men’s Single (A Division), PKPgB Mohd Nurul Nasah Sidek; Men’s Single (B Division), PB Tg Ahmad Zaim Tg Abu Bakar; dan Men’s Double (A Division), PBK II Salihin Shahli.

Kejayaan luar biasa ini mengukuhkan lagi kedudukan JBPM sebagai antara kontinjen terbaik dalam temasya sukan bertaraf dunia itu, sekali gus membuktikan keupayaan anggota bomba bukan hanya di medan tugas, tetapi juga di arena sukan antarabangsa.