UPSI HARGAI PETUGAS NAHAS GERIK, ANJUR MAJLIS TAHLIL DAN PENYAMPAIAN SIJIL

TANJONG MALIM, 2 Julai (IKIM) – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Tahlil dan Penghargaan sebagai tanda penghormatan dan terima kasih kepada petugas serta sukarelawan yang terlibat dalam pengurusan insiden kemalangan tragik di Gerik, yang mengorbankan 15 pelajar universiti berkenaan pada 9 Jun lalu.

Majlis yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah itu turut disertai warga universiti yang hadir bagi mendoakan kesejahteraan roh mangsa nahas yang terkorban dalam kemalangan melibatkan sebuah bas di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam ucapannya menyifatkan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh warga UPSI sebagai manifestasi nilai murni yang tertanam kukuh dalam budaya universiti.

“Warga UPSI membuktikan bahawa apabila berdepan dengan ujian, kita bersatu sebagai satu keluarga besar. Sumbangan dari aspek tenaga, sokongan emosi, logistik dan pengurusan pasca kemalangan ini tidak ternilai dan wajar dikenang sepanjang zaman,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa universiti amat menghargai pengorbanan semua pihak yang telah bertungkus lumus membantu sejak hari pertama kejadian sehinggalah proses pengebumian selesai.

“Inilah roh sebenar UPSI, bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi sebuah komuniti yang hidup dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang,” tambahnya.

Dalam majlis tersebut, semua petugas dan sukarelawan yang terlibat telah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh pihak pengurusan universiti sebagai tanda penghormatan atas jasa dan komitmen mereka.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin pula menyifatkan tindakan pantas dan profesionalisme petugas UPSI dalam menguruskan krisis tersebut sebagai lambang kesiapsiagaan institusi dalam menangani cabaran secara holistik.

“Kita tidak pernah berlatih untuk menghadapi situasi sebegini, namun komitmen semua yang terlibat jelas menunjukkan keutuhan sistem sokongan di UPSI,” katanya.

Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat antara pelbagai jabatan dan fakulti universiti dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

“Daripada urusan pengangkutan, logistik, dokumentasi sehinggalah penyelarasan data pelajar dan waris, semuanya dilakukan secara teratur dan bersepadu. Ini membuktikan nilai integriti dan profesionalisme warga pentadbiran UPSI yang tinggi,” ujarnya.

Universiti turut menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kebajikan keluarga mangsa serta memastikan mereka tidak dilupakan dalam apa jua keadaan.

“Kita tidak akan melupakan keluarga 15 insan yang telah pergi. Mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar UPSI,” kata Md Amin mengakhiri ucapannya.

WhatsApp
Scroll to Top