KUALA LUMPUR, 24 Jun (IKIM) – Bank Rakyat hari ini menzahirkan komitmen berterusan terhadap tanggungjawab sosial korporatnya menerusi pelaksanaan Program Hulurkan Salam Aidiladha 2025 dengan pengagihan 16,890 pek daging korban di 18 lokasi seluruh negara termasuk lokasi penutup di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.
Program tahunan yang bertepatan dengan sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H ini memberi fokus utama kepada golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff memaklumkan bahawa pelaksanaan ibadah korban tahun ini melibatkan penyembelihan 241 ekor lembu dan 159 ekor kambing di seluruh negara.
Agihan daging korban dalam negara ini adalah hasil sumbangan para pemegang Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Surau Al-Barakah MKBR, dengan jumlah kutipan melebihi RM1.52 juta.
Program ini turut mendapat sokongan 18 rakan strategik merangkumi institusi masjid, sekolah, IPT, agensi komuniti dan sektor korporat bagi memastikan agihan berjalan lancar dan sampai kepada kumpulan sasar.
“Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat setempat kerana kejayaan kami juga didokong oleh anggota dan pelanggan di seluruh negara,” ujar Ahmad Shahril.
Selain dari inisiatif korban dalam negara, Bank Rakyat juga meneruskan Program Kembara Qurban Kemboja 2025 yang telah diadakan pada 6 hingga 9 Jun lalu di Kampung Trapeng Prinh dan Kampung Keh, Kemboja.
Sebanyak 45 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada komuniti Islam setempat sebagai usaha memperkukuh jaringan kemasyarakatan serantau.
Pada majlis sama Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM22,500 bagi tujuan bantuan asnaf serta pelaksanaan aktiviti pengimarahan.
Dalam usaha membantu masyarakat menabung untuk tujuan ibadah, Bank Rakyat menawarkan dua produk khas iaitu Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah, lengkap dengan kemudahan kad ATM dan akses perbankan digital melalui platform iRakyat.
Akaun Tabung Qurban menggunakan konsep Wakalah Bil Ujrah di mana pelanggan melantik Bank Rakyat sebagai ejen pelaksana sembelihan.
Orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi platform BRICK di https://brick.bankrakyat.com.my, mengunjungi cawangan terdekat atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1300-80-5454.