TIGA JEMAAH HAJI MALAYSIA KEMBALI KE RAHMATULLAH DI TANAH SUCI

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

MAKKAH, 21 Jun (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar dengan penuh rasa dukacita memaklumkan pemergian tiga jemaah haji Malaysia di Tanah Suci baru-baru ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga jemaah tersebut telah meninggal dunia akibat serangan jantung dalam tempoh dua hari lalu.

Mangsa pertama, Almarhum Abd Wahab bin Yahaya, 63, berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor meninggal dunia pada 19 Jun 2025 jam 4.50 petang akibat serangan jantung di Hotel Al-Mubarak, Shisha.

Sementara itu, Almarhum Mohamed Jafri bin Yahya, 60, dari Tanah Rata, Pahang turut meninggal dunia pada hari yang sama, jam 7.39 malam, di Hospital Jiwar, Makkah, juga disebabkan serangan jantung.

Mangsa ketiga, Almarhumah Norizan binti Tarsi, 59, dari Butterworth, Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhir pada 20 Jun 2025 jam 6.45 pagi, akibat serangan jantung di Abraj Al-Tayseer.

Pihak Tabung Haji telah menguruskan semua keperluan berkaitan jenazah dengan sempurna, termasuk pengurusan pengebumian di Tanah Suci mengikut hukum syarak. Waris juga telah dimaklumkan dan diberikan bimbingan dengan penuh hikmah dan empati.

Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut merakamkan ucapan takziah bagi pihak Kerajaan Malaysia dan seluruh warga agensi haji kepada keluarga Almarhum dan Almarhumah.

Beliau mendoakan agar roh mereka dikurniakan keampunan, rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para solihin.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَعَافِهِمْ وَاعْفُ عَنْهُمْ

WhatsApp
Scroll to Top