إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
MAKKAH, 19 Jun (IKIM) – Seorang lagi jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan suasana ibadah haji tahun ini penuh dengan keinsafan buat seluruh rakyat Malaysia.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Almarhum Abd Rahman bin Yusof, 71 dari KT059, Maktab 85B, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.00 malam waktu Arab Saudi, 18 Jun di Hospital Saudi German akibat jangkitan paru-paru dan kegagalan organ dalaman (Septic shock secondary pneumonia with multi organ failure).
Almarhum yang berasal dari Johor ditemani anak perempuannya, Siti Rafidah Abd Rahman yang turut berada di Tanah Suci ketika ini.
Pihak Tabung Haji dan petugas haji Malaysia telah menzahirkan komitmen tinggi dalam memberikan bantuan serta sokongan kepada waris Almarhum.
Bagi pihak Kerajaan Malaysia, Mohd Na’im merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.
“Kita doakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan para syuhada’ serta jemaah haji yang diterima ibadahnya di sisi Allah SWT,” ujar beliau dalam satu kenyataan rasmi.
Almarhum merupakan jemaah keenam yang dilaporkan meninggal dunia sepanjang musim haji tahun ini.
اللهم اغفر له، وارحمه، وعافه، واعف عنه، وأكرم نزله، ووسع مدخله، واغسله بالماء والثلج والبرد