PUTRAJAYA, 19 Jun 2025 (IKIM) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Awam, Kecemasan dan Penghapusan Konsikuensi Bencana Alam (EMERCOM) Persekutuan Rusia, Kolonel General Alexander V. Kurenkov dalam satu Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya.
Lawatan tersebut disifatkan sebagai satu penghormatan besar serta simbol hubungan strategik antara Malaysia dan Rusia dalam bidang pengurusan kecemasan dan kebombaan.

Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Ts. Nor Hisham dalam ucapannya berkata lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik tetapi juga membuka ruang pertukaran kepakaran, teknologi dan kerjasama operasi antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini memperkukuh jalinan antara EMERCOM Rusia, JBPM dan NADMA. Ia juga menjadi platform bagi perkongsian teknologi, khususnya dalam aspek keselamatan kebakaran, pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Delegasi Rusia turut dibawa melawat ke Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 serta Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan (PGOK) bagi melihat sendiri operasi kebombaan negara.
Dalam masa sama, JBPM menyatakan minat untuk meneroka penggunaan teknologi keselamatan kebakaran dari Rusia seperti sistem pemadaman aerosol EXA dan sistem serbuk IPEX keluaran Pyrogen, sebagai langkah memperkukuh keupayaan jabatan.

Lawatan ini juga bertepatan dengan pelaksanaan latihan rentas sempadan antara pasukan MAS01: SMART, NADMA dan RUS03: Far Eastern Regional SAR Team of EMERCOM yang berlangsung dari 15 hingga 20 Jun di Puchong, Selangor.
Latihan tersebut bertujuan menguji kesiapsiagaan dan keberkesanan koordinasi dalam menghadapi bencana urban secara realistik.

Selain itu, delegasi Rusia turut dijadual mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang Jaya pada 20 Jun bagi meninjau keupayaan operasi udara JBPM dalam penyelamatan dan pemadaman.
Hubungan kerjasama antara Malaysia dan Rusia dalam aspek kebombaan telah terjalin sejak 1998 menerusi pembelian helikopter Mi-17 buatan Rusia, yang menjadi tulang belakang dalam operasi udara JBPM.

Turut hadir dalam sesi lawatan kerja ini ialah barisan pengurusan tertinggi JBPM dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) NADMA, Datuk Mohd Razali bin Wahab.
JBPM optimis lawatan ini akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala, khususnya dalam pembangunan keupayaan, latihan bersama dan pertukaran teknologi untuk manfaat bersama.