PETRONAS PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENUJU ENERGY ASIA 2025

KUALA LUMPUR, 16 Mei (IKIM) – Hampir 100 pengamal media dan perhubungan awam daripada lebih 30 organisasi telah menghadiri acara ‘Lunch Escape’ anjuran PETRONAS pada Khamis (15 Mei), menampilkan sesi bual bicara bertajuk ‘Road to Energy Asia 2025’.

Acara eksklusif ini bertujuan untuk menarik perhatian serta meningkatkan kesedaran pengamal media terhadap agenda peralihan tenaga global dari perspektif Asia, menjelang penganjuran Energy Asia 2025 pada bulan Jun hadapan.

Sesi panel disertai wakil-wakil daripada syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang berkongsi pandangan mengenai pelbagai dialog strategik yang bakal memacu transformasi tenaga di rantau ini.

Antara ahli panel yang hadir Pengurus Besar Kanan, Energy Asia dan Strategi, Perancangan & Tadbir Urus, Perhubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Datin Arni Laily Anwarrudin; Ketua Wilayah APAC, Perundingan & CERAWeek, S&P Global Commodity Insights, Smarco Ho; dan Pengurus Negara (Malaysia), Amazon Web Services (AWS), Peter Murray.

Menurut Arni, antara acara menarik di Energy Asia 2025 ini adalah Energy Park yang merupakan pusat inovasi dan teknologi bertujuan untuk menarik minat khalayak ramai tanpa mengira umur.

Energy Park ini juga akan menampilkan beberapa ruang khas termasuk ‘Kapsul’ sebagai platform bagi usahawan pemula membuat pembentangan idea bisnes mereka (pitching) dan ‘Pavilion Negara’ yang melibatkan reruai pelbagai negara dan syarikat-syarikat utama dalam sektor tenaga serta teknologi.

Energy Asia 2025, yang dianjurkan PETRONAS bersama CERAWeek oleh S&P Global dijadual berlangsung dari 16 hingga 18 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Program bertemakan “Delivering Asia’s Energy Transition” (Menjayakan Peralihan Tenaga Asia), Energy Asia 2025 ini akan memfokuskan kepada kerjasama serantau dalam memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, melaksanakan solusi nyahkarbon, mempercepat pemindahan teknologi, serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi.

Turut hadir, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.

Disediakan oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top