KUALA LUMPUR, 9 Mei (IKIM) – Mayat seorang bayi yang belum dikenal pasti jantinanya ditemui di dalam sungai di belakang Restoran Kawanku Tomyam, Jalan Klang Lama, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada jam 3:00 petang dan segera mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh ke lokasi kejadian.
Sebuah jentera jenis FRT bersama lapan anggota dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 3.15 petang.

Menurut Komander Operasi, PBK II Sahruddin bin Mat Noor, sebaik tiba di tempat kejadian pasukan bomba mendapati mayat seorang bayi berada di dalam sungai berdekatan restoran tersebut.
“Kerja-kerja mengangkat mayat dilakukan anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 3.54 petang.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan tragis itu.