PUTRAJAYA, 21 April (IKIM) – Selepas 48 tahun penubuhan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) akhirnya merasmikan ibu pejabat baharu di bangunan Pusat Perniagaan Ochre@Alamanda, Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar hadir merasmikan pelancaran ibu pejabat YAPEIM tersebut di majlis Sambutan Aidilfitri YAPEIM pada Isnin (21 April).
Menurut Mohd Na’im, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah bersetuju menukar nama Menara Ochre kepada Wisma atau Menara YAPEIM selepas perbincangan bersama Pengerusinya, Dato’ TPr Fadlun Mak Ujud, dan perkara tersebut sudah pun dalam proses.
Menurut Mohd Na’im, hasil perbincangan bersama Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj), Dato’ TPr Fadlun Mak Ujud bahawa PPj telah bersetuju dan perkara tersebut sudah pun dalam proses.

“Kita harapkan agar bangunan ini dapat ditukar namanya sebagai Wisma atau Menara YAPEIM supaya dapat menzahirkan tentang kewujudan salah satu agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).”
“Saya minta pengurusan YAPEIM untuk follow-through. Maknanya di pihak saya dan juga di pihak Dato’ Fadlun tidak ada sebarang halangan untuk nama ini ditukar.”
“Pertukaran nama ini sangat penting, sebab bila kita sebut Menara atau Wisma YAPEIM ini, ia melambangkan keberadaan. Bila ada menara YAPEIM ini Alhamdulillahlah, sekurang-kurangnya ada satu agensi agama yang memiliki namanya sendiri pada bangunan tersebut,” katanya.
YAPEIM berpindah ke bangunan tersebut pada bulan Mac lalu dari ibu pejabat lama yang terletak di Mentari Business Park, Petaling Jaya.
Dalam majlis yang sama, YAPEIM turut memberikan sumbangan bernilai RM470,000 kepada golongan yang memerlukan.

Sumbangan itu membabitkan serahan rumah kepada tiga peserta dan bantuan baik pulih rumah kepada lima peserta yang terlibat bagi Program Sinar Lestari YAPEIM berjumlah RM390,000.
Sumbangan pembangunan ekonomi latihan dan tunjuk ajar juga diberikan kepada usahawan berjumlah RM10,000 selain sumbangan Aidilfitri kepada 100 keluarga miskin dan dua institusi berjumlah RM30,000.
200 pelajar sekolah juga menerima manfaat menerusi sumbangan YAPEIM Didik bernilai RM100 berjumlah RM20,000.
YAPEIM turut memperuntukkan RM20,000 bagi majlis jamuan keraian Aidilfitri dan kemasyarakatan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Agama, Dato’ Dr. Zulkifli Hasan; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim serta Ketua Pengarah Eksekutif YAPEIM, Zabidi Nasan.
Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz