PUTRAJAYA, 21 April (IKIM) – Pandangan mengenai hukum menunaikan ibadah haji semasa musim pilihan raya tidak sewajarnya dikeluarkan secara terburu-terburu oleh individu, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata persoalan hukum-hakam sewajarnya dirujuk kepada pihak berautoriti seperti para mufti kerana hukum agama adalah perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh dan disiplin ilmu yang tinggi.
Baru-baru ini media melaporkan seorang ahli politik mencetuskan kontroversi apabila menggesa umat Islam memberi keutamaan kepada kewajipan mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning berbanding melaksanakan ibadah haji, mencetuskan perbincangan hangat warga media sosial.
Mohd Na’im meminta rakyat untuk menjaga keharmonian negara dengan tidak mencetuskan sebarang kekeliruan kepada masyarakat.
“Adalah amat penting untuk kita menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi apabila ia melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi yang penting bagi negara.”
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak Mufti serta institusi berwibawa untuk memberikan pandangan dan penjelasan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa.” ujar beliau.
Disediakan oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz.