JANGAN AMBIL MUDAH, BULAN SABIT SIMBOL ISLAM AGAMA RASMI PERSEKUTUAN – MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR, 20 April (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan rasa kesal dan memandang serius isu penyiaran imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit yang disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mencemar simbol negara, malah menyentuh sensitiviti rakyat pelbagai kaum dan agama serta mencabar semangat patriotik yang telah lama tersemat dalam jiwa rakyat Malaysia.

“Saya menjunjung kasih atas titah penuh hikmah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa bendera adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara, justeru tidak boleh sama sekali dipersendakan atau diperlakukan secara cuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seruan Seri Paduka Baginda supaya pihak media lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan bahan siaran wajar dijadikan pedoman oleh semua pihak.

“Jalur Gemilang bukan sekadar kain bercorak, tetapi lambang perjuangan, kemerdekaan dan maruah negara yang mesti dipertahankan bersama,” katanya.

Beliau turut menyeru agar institusi pendidikan, badan media dan organisasi masyarakat madani memperkukuh usaha mendidik rakyat mengenai makna dan nilai simbol negara.

“Inilah masanya untuk kita memperkasa nilai-nilai Malaysia MADANI yang mengangkat hikmah, hormat dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Kesilapan dalam memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat dan pemimpin negara, yang menyifatkannya sebagai satu kecuaian yang tidak wajar berlaku lebih-lebih lagi dalam konteks negara berdaulat.

WhatsApp
Scroll to Top