FELDA TUBUH PUSAT PENGUMPUL SAWIT BANTERAS PENEROKA RUGI RM200 JUTA

KUANTAN, 18 April (IKIM) – Menyedari ketirisan dan kerugian hasil penjualan sawit kepada orang tengah, Felda mengambil langkah strategik menubuhkan pusat mengumpul sawit (PMS).

Pengerusi Felda, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata menerusi penubuhan PMS ini, rantaian nilai pengeluaran sawit Felda dapat dilengkapkan bahkan dapat diurus dengan telus dan sistematik berasaskan konsep “dari peneroka, untuk peneroka.”

“FELDA kini telah mewujudkan satu sistem yang telus dan efisien untuk menyelesaikan masalah masa lalu, dan yang lebih penting, memudahkan kehidupan para peneroka pada masa hadapan,” katanya.

Ahmad Shabery berkata ini merupakan inisiatif Felda untuk membantu peneroka mandiri dari dimanipulasi orang tengah tidak bertanggungjawab.

Katanya walaupun FELDA Plantation Management Sdn. Bhd. sebelum ini bertanggungjawab menguruskan ladang peneroka bersama-sama peneroka mandiri, penggunaan orang tengah oleh segelintir peneroka menyebabkan mereka ditipu dengan harga lebih rendah sehingga mencapai ketirisan mencecah RM200 juta setahun.

Selain itu beliau berkata menerusi pelantikan Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai super dealer yang bertanggungjawab membeli, mengumpul dan mengalihkan hasil sawit peneroka secara terus kilang, pengurusan hasil sawit dijangka akan lebih sistematik dari sebelumnya.

“Inisiatif Felda ini akan mewujudkan pengurusan hasil yang lebih efisien, telus dan berpusat, sekaligus menjamin kualiti, meningkatkan pendapatan bersih peneroka,” beliau berkata demikian ketika di perasmian PMS Damar Berkat di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata dengan pengeluaran minyak sawit negara mencecah 18 juta metrik tan dan nilai eksport 15 juta metrik tan, inisiatif strategik ini jelas akan memberi impak besar terhadap ekosistem kelapa sawit negara.

Selain itu katanya, penggunaan teknologi terbaharu EV (electronic vehicle) oleh PMS dalam proses pengumpulan hasil untuk mengurangkan pelepasan karbon akan menyumbang kepada kelestarian global.

Tambah beliau langkah ini seiring dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Paris, menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih (nett zero carbon) menjelang 2050.

Disediakan oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz.

WhatsApp
Scroll to Top