KUANTAN, 16 April (IKIM) – Jabatan Mufti Negeri Pahang menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung isu pencerobohan tanah secara haram yang semakin membimbangkan di negeri ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Mufti Pahang, Prof Datuk Asmadi Mohamed Naim.menegaskan bahawa rakyat mempunyai tanggungjawab besar untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa demi memelihara kelestarian alam, kedaulatan undang-undang, dan kepentingan ummah.
“Pencerobohan tanah melalui perlombongan haram, penerokaan, perladangan atau pembinaan tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang, malah dianggap sebagai kemungkaran, pengkhianatan amanah dan jenayah syarie yang mendatangkan kerosakan serta penindasan terhadap rakyat,” katanya.
Asmadi juga menjelaskan bahawa konsep Ihya’ Al-Mawat (menghidupkan tanah mati) tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk menghalalkan pencerobohan tanah kerana konsep tersebut hanya boleh diamalkan jika diiktiraf sebagai dasar oleh kerajaan, dan sebarang aktiviti berkaitan tanah wajib mendapat kelulusan dan permit sah daripada pihak berkuasa.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW sebagai peringatan tegas terhadap mereka yang merampas hak milik tanah secara zalim.
“Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka akan dikalungkan di lehernya tanah itu dari tujuh lapis bumi pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Menurut Asmadi, perbuatan merampas hak milik tanah tanpa izin ini termasuk dalam kategori al-ghasab, iaitu kezaliman yang diharamkan oleh syarak dan ia jelas bertentangan dengan prinsip hifz al-mal (penjagaan harta) dalam Maqasid al-Syariah serta mencabar peranan pemerintah dalam menjaga keadilan dan kemaslahatan rakyat.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat agar mematuhi undang-undang dan menjunjung titah Sultan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri Pahang secara berterusan.