PUTRAJAYA, 16 April (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menegur dan memandang serius tindakan seorang individu yang memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Al-Fatihah di laman Facebook rasmi Astro Awani, sempena laporan berita mengenai majlis penghormatan terakhir Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 15 April lalu.
Dalam satu kenyataan rasmi, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab, biadab dan memperlekehkan ajaran Islam, khususnya pada saat negara sedang berkabung atas pemergian tokoh negarawan yang banyak berjasa.
“Komen tersebut bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, tetapi juga tidak menghormati perasaan ahli keluarga Allahyarham serta seluruh rakyat Malaysia yang menghargai jasa beliau,” katanya.
Susulan itu, JAKIM telah mengambil langkah pantas dengan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
JAKIM turut menzahirkan kebimbangan terhadap potensi komen tersebut mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum, lebih-lebih lagi apabila individu berkenaan dipercayai tidak menetap di dalam negara.
Sehubungan itu, semua pihak diingatkan agar menghentikan sebarang bentuk kenyataan atau komen provokatif yang boleh mencetuskan kemarahan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama diseru agar terus mengamalkan sikap saling menghormati serta peka terhadap sensitiviti agama dan kepercayaan, selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, hormat, keyakinan, dan ihsan,” tambah beliau.