PM HADIR ISTIADAT PENGEBUMIAN NEGARA PAK LAH

KUALA LUMPUR, 15 April (IKIM) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke Istiadat Pengebumian Negara mantan Perdana Menteri Kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.

Anwar tiba di perkarangan masuk ruang solat utama Masjid Negara pada 1.02 minit tengah hari tadi.

Turut hadir bersama beliau para jemaah Menteri termasuk Menteri dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Mohd Naim Mokhtar; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Hal Ehwal Undang-undang, Dato’ Azalina Othman; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Wilayah, Dr. Zaliha Mustafa.

Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman dan Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil turut hadir memberikan penghormatan yang terakhir kepada negarawan itu.

Abdullah, 85, meninggal dunia pada 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah beliau akan disembahyangkan selepas solat Zuhur, dan dikebumikan di Makam Pahlawan.

Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top