MAPIM & ZUS COFFEE HIDANG 10,000 JAMUAN IFTAR DI GAZA SEPANJANG RAMADAN

Kuala Lumpur, 14 April (IKIM) – Jenama kopi Malaysia, ZUS Coffee, bersama-sama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menyediakan 10,000 juadah berbuka puasa untuk keluarga-keluarga di Gaza sepanjang bulan Ramadan untuk berbuka puasa dengan tenang dan selamat walaupun menghadapi kesukaran yang berterusan di Gaza.

Melalui inisiatif ZUS CARES yang dipaparkan di dalam aplikasi ZUS Coffee, Komuniti ZUS Coffee telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM266,000 yang diserahkan kepada MAPIM bagi membantu program ini dan memastikan keluarga-keluarga di Gaza mendapat sokongan sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini.

Inisiatif ZUS CARES berterusan sehingga kini dan membolehkan pelanggan menyokong usaha bermakna bagi golongan yang memerlukan dengan cara menderma di dalam dalam aplikasi ZUS Coffee yang disahkan semasa membuat pembayaran.

Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian, berkata inisiatif ini mencerminkan semangat Ramadan sebagai bulan muhasabah, kesyukuran dan memberi, sambil menzahirkan penghargaan kepada para pelanggan atas sokongan berterusan.

“Ramadan adalah masa muhasabah, kesyukuran dan untuk memberi. Kami amat berterima kasih kepada pelanggan-pelanggan kami yang telah bersama-sama, melalui platform ZUS CARES, menyokong keluarga-keluarga di Gaza.”

“Kami berasa rendah diri melihat kemurahan hati yang berterusan daripada komuniti kami. Sumbangan kolektif ini menunjukkan bahawa tindakan kebaikan yang kecil, apabila dilipatgandakan, boleh mencipta kesan yang mendalam dan berkekalan,” katanya.

MAPIM dalam pada itu menyifatkan sumbangan tersebut bukan sekadar makanan, malah menjadi simbol kasih sayang dan solidariti umat Islam seluruh dunia terhadap saudara mereka di Gaza.

Sumbangan ini hadir dalam waktu yang penuh cabaran buat pasukan bantuan kemanusiaan di Gaza dan MAPIM turut berkongsi berita duka apabila lapan anggota kemanusiaan mereka terkorban dalam satu serangan udara, hanya beberapa hari selepas penyerahan bantuan dilakukan.

Pengorbanan mereka menjadi peringatan akan risiko besar yang dihadapi para sukarelawan dan betapa pentingnya sokongan berterusan dari masyarakat antarabangsa.

WhatsApp
Scroll to Top