SYAWAL DIRAI, UKHUWAH DIPEDULI

Alhamdulillah, pada hari ini kita masih lagi dalam kegembiraan Syawal. Kegembiraan ini bukan sahaja milik hari pertama Syawal tetapi Islam membuka ruang seluas-luasnya untuk kita meraikan keberkatan Syawal sepanjang bulan. Dalam zaman serba moden ini, kita menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan, termasuk tanggungjawab kerja serta berjauhan tempat tinggal, yang menghalang kita untuk berkumpul pada hari pertama Syawal. Oleh itu, sambutan secara berperingkat dalam tempoh sebulan ini selari dengan semangat Islam yang meraikan kepelbagaian dan memudahkan urusan umatnya. Syariat tidak melarang kita meraikan Syawal selama sebulan bahkan ia  merupakan masa yang mulia untuk kita terus menyambutnya dengan penuh kesyukuran, dalam batasan yang dibenarkan syarak.

Syawal Bulan Silaturahim

Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Sesungguhnya Islam sangat menekankan hubungan silaturahim sesama masyarakat, bahkan silaturahim itu adalah asas perpaduan dalam masyarakat. Di dalam bulan Syawal ini, kita dianjurkan untuk kembali kepada fitrah kemanusiaan, saling memaafkan dan mengukuhkan ikatan kasih sayang. 

Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis qudsi riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’. Allah Azza wa Jalla berfirman: “Telah wajib kasih sayang-Ku untuk orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, yang duduk bersama kerana Aku, yang saling menziarahi kerana Aku, dan yang saling memberi kerana Aku.”

Oleh itu, amalan rumah terbuka sepatutnya menjadi pendekatan dakwah yang membudayakan kasih sayang dan kepedulian dalam masyarakat. Inilah masanya untuk kita memohon kemaafan, menyantuni keluarga dan merapatkan hubungan yang mungkin telah renggang.

Gaza terus berdarah di dalam meriahnya Syawal

Walaubagaimanapun, dalam kita mengamalkan budaya ziarah-menziarahi seperti yang dianjurkan Islam untuk mengeratkan silaturahim, kita harus beringat bahawa kemeriahan Aidilfitri ini tidak dirasai di negara saudara kita Palestin.

Episod duka yang mencengkam umat Islam di Palestin tidak boleh kita abaikan kerana kehidupan mereka dilakar dengan penderitaan yang sangat sukar dibayangkan akibat kekejaman rejim Zionis Israel. Rumah mereka dibom, mereka dibakar hidup-hidup dalam khemah berlindung, bahkan sempadan juga ditutup menghalang sebarang bentuk kemasukan bantuan kemanusiaan.

Jelaslah bahawa situasi di Gaza ini merupakan manifestasi kezaliman yang nyata. Sebagai saudara seIslam, kita wajib mengambil langkah proaktif untuk menyokong perjuangan saudara kita menerusi pelbagai cara, termasuk berdoa, memberi bantuan kemanusiaan atau lantang bersuara menentang kezaliman. 

Ingatlah bahawa episod berdarah di Gaza ini bukan sahaja ujian untuk mereka, bahkan juga ujian untuk kita, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 75 bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).” 

Oleh itu, marilah kita jadikan Syawal ini sebagai bulan untuk kembali kepada nilai-nilai mulia Islam. Sambutlah dengan hati yang terbuka, tangan yang menghulur kebaikan, dan langkah yang menuju ke arah kebersamaan dan kepedulian terhadap saudara kita yang lain. Semoga usaha kita dalam meraikan Syawal sepanjang sebulan ini diterima sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

**Artikel ini disunting dari Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan (11 April 2025)

WhatsApp
Scroll to Top